Gangguan bekalan air di tiga jajahan

Foto RiZAL TAHIR
- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebanyak 32,018 akaun pengguna Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) di lebih 100 kawasan di tiga jajahan mengalami gangguan bekalan air bermula hari ini hingga Sabtu ini.

Tiga Jajahan terlibat membabitkan Kota Bharu Selatan dan Timur, Machang dan Pasir Puteh yang mengalami masalah itu.

- Advertisement -

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat dan Latihan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Mat Noor Awang berkata gangguan itu berikutan kerja kecemasan pembaikan paip mentah jenis GRP bersaiz 1,100 mm yang pecah di Kampung Pulai Chondong, Machang dekat sini hari ini.

Katanya, kerja-kerja baik pulih mengambil masa selama tiga hari berikutan kebocoran besar berlaku.

Menurutnya, pada masa yang sama faktor kedalaman paip di tapak menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong diberhentikan sementara waktu.

“Kerja baik pulih bermula 9 pagi ini dan dijangka semua kawasan terjejas akan mendapat bekalan air secara berperingkat pada 10 malam Sabtu ini.

“Pihak kami menguruskan penghantaran air melalui lori tangki dan pengisian air ke tangki statik kepada pengguna terjejas sepanjang tempoh gangguan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media dalam sidang media khas Penutupan LRA Merbau Chondong di Wisma AKSB di sini, hari ini.

Mat Noor berkata, bagi mengatasi masalah pengguna, AKSB menyediakan enam lori tangki dari Tanah Merah, Kuala Krai, Tumpat, Pasir Mas, Machang dan Pasir Puteh bagi mengagihkan air ke kawasan terjejas yang beroperasi 24 jam.

Pada masa yang sama, jelasnya AKSB menyediakan tangki statik berkapasiti 500 gelen di lokasi terpilih mengikut keperluan.

Sebarang maklumat lanjut, hubungi PINTAS di talian 15777 dan WhatsApp 019-5755777. – HARAKAHDAILY 27/8/2020

- Advertisement -