Semangat MN pacu momentum kempen PRK Slim

- Advertisement -

TANJUNG MALIM: Program demonstrasi masakan kek pisang bersama Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad telah menjadi tarikan utama di dalam pertemuan santai bersama muslimat PAS dan Wanita Umno, di Trolak, di sini semalam.

- Advertisement -

Menurut Dr Najihah, program sebegini merupakan medium unik dan berkesan sebagai landasan mengeratkan hubungan silaturahim penduduk setempat meskipun mempunyai latar belakang politik yang berbeza kerana kaum wanita amat sinonim dengan dunia masakan.

Mengulas mengenai komitmen diberikan Muslimat PAS dalam PRK N.58 Slim ini, Dr Najihah menerangkan pihaknya melalui jentera Muslimat di peringkat Negeri dan Kawasan-kawasan telah dikerahkan turun padang sejak hari penamaan calon 15 Ogos lalu.

Katanya, hubungan antara Muslimat PAS dan Wanita Umno telah sekian lama erat pasca penubuhan Muafakat Nasional lagi di mana masing-masing sering bekerjasama baik dalam menganjurkan program-program secara bersama baik di peringkat Negeri, Kawasan mahupun Cawangan.

“(Maka) bila ada PRK seperti ini, amat mudah kita mengerahkan jentera Muslimat PAS turun padang membantu gerak kerja pilihan raya bersama jentera Barisan Nasional (BN). Ini kerana masing-masig sebelum ini telah mula rapat dan banyak program telah dilaksanakan bersama-sama.

“Bukan sahaja dalam PRK Slim ini, malah semua (pihak) dapat menyaksikan dengan jelas, kesepakatan PAS dan Umno dalam gerak kerja PRK sebelum-sebelum ini. InsyaAllah perpaduan yang utuh antara dua parti politik Melayu terbesar ini pasti membuahkan hasil yang sangat baik,” jelas beliau.

Jelasnya lanjut, selain turun padang bertemu dengan pengundi di DUN Slim ini, Muslimat PAS turut komited mengadakan program Munajat AKIFI secara berkala bersama Wanita Umno sebagai usaha mendekatkan para petugas dengan Allah S.W.T.

Terang Dr Najihah, selain memerahkan tenaga dalam gerak kerja hakiki, roh para petugas juga amat penting untuk diisi dengan perkara-perkara kerohanian seperti bacaan Yassin, solat hajat dan juga munajat bagi mengukuhkan kebergantungan kepada Allah yang Maha Berkuasa.

“Kerana izin-Nya kita dapat bekerjasama PAS dan Umno hari ini. Dalam apa jua gerak kerja yang kita lakukan, jangan lupa untuk terus bermunajat. Selain giat berusaha untuk PRK, kita juga perlu bertawakkal kepada Allah dan sentiasa menyerahkan segala urusan pada-Nya,” pesan beliau. – HARAKAHDAILY 27/8/2020

- Advertisement -