Safawi dapat tawaran kelab Portugal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyerang prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT) Safawi Rasid bakal menjadi seorang lagi pemain bola sepak Malaysia yang dapat bermain di liga Eropah apabila beliau menerima tawaran daripada kelab Liga Premier Portugal, Portimonense SC.

Pengarah Sukan Kelab Bolasepak JDT Martin Prest mengesahkan bahawa skuad Harimau Selatan menerima tawaran daripada kelab berkenaan untuk pemain berasal dari Dungun, Terengganu itu.

- Advertisement -

“Kelab percaya tawaran ini baik untuk JDT dan Safawi, oleh itu, kami bersedia melepaskan Safawi untuk meneruskan kariernya di Eropah.

“Bagaimanapun, kami tidak dapat mendedahkan perincian tawaran itu kerana rundingan akhir masih dijalankan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi kelab itu, Johor Southern Tigers.

Sejak meninggalkan T-Team (kini dikenali sebagai Terengganu FC II) untuk beraksi bersama JDT pada 2017, pemain sayap berusia 23 tahun itu, memainkan peranan penting atas kejayaan JDT dalam meraih gelaran Liga Super berturut-turut dan persembahan membanggakan dalam Liga Juara-juara AFC.

Safawi, yang sering beraksi dalam skuad kebangsaan di bawah Tan Cheng Hoe dan pasukan bawah 23 tahun, dijangka menyertai kelab Portugal itu selepas tamat musim 2020.

Kira-kira dua minggu lepas, pemain skuad bawah 19 tahun negara, Luqman Hakim Shamsuddin menyertai pasukan dari Belgium, KV Kortrijk. – BERNAMA

- Advertisement -