Bina sistem teknologi mahkamah dalam talian

- Advertisement -

SAYA mengucapkan tahniah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato’ Takiyuddin Haji Hassan kerana RUU Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2020, RUU Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020 dan RUU Kaedah-kaedah Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat tanpa pindaan. 

Pindaan ini dilakukan bagi membolehkan perbicaraan dilakukan secara dalam talian, tertakluk kepada pertimbangan hakim, juga sebagai langkah yang diambil kerajaan bagi mengurangkan kesan pandemik COVID-19 yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada perjalanan keadilan di mahkamah. 

Namun begitu, saya melihat perbicaraan dalam talian akan menjadi satu norma baharu yang akan diamalkan, walaupun selepas pandemik ini berakhir. Hal ini kerana akses kepada keadilan (access to justice) yang optimum kepada rakyat dapat dilaksanakan kerana ia boleh menyelesaikan masalah lambakan kes yang tertangguh dan mempercepatkan perjalanan sesuatu kes. 

- Advertisement -

Oleh kerana itu, saya berpandangan bahawa memberi ruang dan kuasa sahaja kepada mahkamah adalah tidak mencukupi. Tidak mustahil bahawa suatu hari nanti, ‘mahkamah dalam talian’ akan dimasukkan ke dalam struktur mahkamah konvensional sama seperti Mahkamah Sivil yang lain.

Justeru, saya mencadangkan agar suatu sistem teknologi khusus yang dapat memenuhi semua keperluan bagi perbicaraan yang lancar, efisien dan tidak menjejaskan keadilan, perlu dibina sebagai persediaan ke arah lebih banyak perbicaraan dalam talian yang boleh dan akan dilakukan pada masa hadapan. 

Sekian, terima kasih. 

“Islam Memimpin Perpaduan”

HAJI WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Dungun – HARAKAHDAILY 27/8/2020

- Advertisement -