Kajian harga siling beras perlu dilaksana

Gambar hiasan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Industri padi dan beras merupakan satu industri yang sangat strategik dan kritikal kepada kerajaan berikutan beras adalah makanan utama rakyat Malaysia.

Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat), apa sahaja keputusan yang akan dibuat oleh kerajaan yang berkaitan dengan isu padi dan beras perlu pertimbangan jelas dan dengan berhati-hati serta memerlukan kajian yang teliti.

- Advertisement -

Terdahulu, kata beliau, kerajaan telah memperkenalkan harga siling bagi beras tempatan bermula pada tahun 2008 yang bertujuan memastikan pengguna sentiasa medapat bekalan beras dengan harga yang berpatutan dan terkawal walaupun berlaku kenaikan harga beras di pasaran antarabangsa.

“Pada tahun 2008 apabila berlaku krisis makanan dunia pada masa itu, beras putih tempatan dengan kandungan hancur lima peratus dikawal tidak melebihi RM2.60 bagi setiap kilogram untuk menampung kekurangan 30 peratus kegunaan beras di dalam negara, beras putih import digunakan dengan purata harga pasaran sekitar adalah RM2.80 hingga RM3.00 setiap kilogram,” katanya.

Tambahnya lagi, mengambil kira berlaku beberapa perubahan dasar seperti kenaikan harga lantai belian padi yang telah diseragamkan daripada RM850 setiap metrik tan kepada RM1,200 setiap metrik tan pada tahun 2014.

“Kementerian berpandangan kajian terhadap harga siling beras tempatan perlu dilaksanakan bagi memberi keadilan kepada pihak lain di sepanjang rantaian industri seperti pengilang, pemborong dan juga peruncit memandangkan margin keuntungan perniagaan yang semakin mengecil kesan daripada harga syiling runcit yang telah ditetapkan itu.

“Kerajaan akan melaksanakan kajian pasaran secara terperinci terlebih dahulu sebelum mengemukakan cadangan pelupusan harga siling beras tempatan dan juga penetapan harga kawalan ke atas beras import bagi memastikan impak perubahan harga tidak membebankan pengguna dan rakyat secara keseluruhannya,” ujarnya.

Che Abdullah berkata demikian ketika menjawab soalan Dato’ Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) dalam sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu dalam soalan tambahan ya, Salahuddin pula berkata, pihaknya mengharapkan harga siling beras itu dinaikkan.

Beliau juga meminta timbalan menteri itu menyatakan satu tempoh masa yang diambil daripada pihak MAFI untuk melaksanakannya.

Tambahnya, jika tidak kejatuhan kerajaan (PH) terdahulu, masa yang diambil hanya enam bulan sahaja untuk melaksanakannya.

Che Abdullah bagaimanapun menolak sisi pandang bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dengan penjelasan bahawa pihaknya tidak takut apatah lagi untuk melaksanakan perkara-perkara yang membawa kebaikan kepada rakyat.

“Kita perlu sedar bahawa industri padi dan beras ini adalah industri yang sangat kritikal dan begitu strategik, ia melibatkan pemain-pemain industri yang ramai termasuklah pesawah sendiri.

“Kementerian perlu menjaga kepentingan yang paling ramai iaitu pengguna seramai 32 juta rakyat Malaysia yang menggunakan beras pada setiap hari. Sekiranya kenaikan harga beras yang tidak dikawal akan menimbulkan kemarahan dan menyusahkan rakyat sendiri,” ujarnya.

Tambah beliau, maklumat mengenai status kajian yang sedang dilaksanakan pada masa ini mengenai kertas yang telah dibawa kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan dilihat secara teliti.

“Sekiranya boleh membawa kebaikan kepada seluruh pemegang taruh dalam industri ini sudah tentu kementerian akan mempertimbangkannya,” katanya dalam sesi jawab lisan, hari ini. – HARAKAHDAILY 27/8/2020

- Advertisement -