K’jaan PN gambaran masyarakat berbilang kaum

- Advertisement -

TANJUNG MALIM: Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, gabungan PAS, Umno dan BERSATU dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini merupakan gambaran sebenar masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

- Advertisement -

“Sekarang kita nak tunjuk negeri Perak (lah) menjadi contoh, inilah wajah masyarakat Malaysia. Ada Melayu, ada Cina dan India yang hidup bersama-sama,” ulasnya

Beliau turut serta dalam majlis minum petang bersama Dewan Himpunan Pendukung PAS Perak (DHPP) di Taman Seroja, Slim River, di sini petang ini.

Di dalam ucapannya, Razman turut menekankan kewujudan DHPP sebagai salah satu cabang PAS jelas membuktikan PAS bukan sebuah parti ekstrem yang meminggirkan atau menindas kaum lain.

Terangnya yang juga merupakan EXCO Kerajaan Negeri Perak, ia dapat dibuktikan dengan pelantikan jawatan Ahli Majlis di kawasan-kawasan dan juga Senator Dewan Negara turut diberikan kepada DHPP sewaktu pemerintahan Kerajaan PN.

Selain itu peringatnya, kemenangan calon Barisan Nasional (BN) mewakili kerajaan PN di dalam PRK N.58 Slim ini amat penting dan tidak seharusnya dipandang enteng kerana ia merupakan gambaran kekuatan kerajaan PN khususnya di Perak.

“Inilah gambaran kita untuk PRU15 nanti. Umno sebelum ini mendapat 8 ribu undi. PAS 4,103 undi, dan PH yang bertanding guna lambang PKR dapat 6 ribu.

“Bila kita campurkan jumlah PAS Umno dan sebahagian jumlah undi dari PH yang kini telah bersama kita (PN), InsyaAllah kita boleh hilangkan deposit orang-orang yang bertanding dengan kita ini,” ujar Razman. 

Dalam majlis itu, Razman selaku pimpinan tertinggi PAS Perak turut menerima penyerahan 73 borang ahli baharu DHPP Perak di mana keseluruhannya dimaklumkan berjaya dikumpul dalam tempoh singkat di antara dua hingga tiga minggu. – HARAKAHDAILY 27/8/2020

- Advertisement -