Padi angin: MARDI terbit manual kawal masalah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menerbitkan Manual Teknologi Kawalan Padi Angin (Edisi 2020) bagi membantu petani mengawal masalah padi angin di negara ini.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor berkata ini kerana masalah padi angin yang disebabkan pencemaran benih padi boleh menjejaskan hasil sehingga 70 peratus sekiranya tidak dikawal dari peringkat awal.

“Justeru, pada hari ini MARDI melancarkan Manual Teknologi Kawalan Padi Angin (Edisi 2020) yang telah diperkemaskan serta ditambah baik sejajar dengan perkembangan teknologi dan masalah semasa. 

- Advertisement -

“Dengan terbitan manual berkenaan ia dapat dimanfaatkan semua agensi dan jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang terlibat secara langsung dengan penanaman padi.

“Manual ini direka bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) sama dapat disampaikan kepada petani sebagai panduan untuk memastikan petak sawah mereka bebas padi angin sekali gus menyumbang ke arah peningkatan pengeluaran hasil padi negara,” katanya. 
 
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Kolokium Perlindungan Tanaman MARDI 2020 dan pelancaran manual tersebut di ibu pejabat MARDI, di Serdang, semalam. 

Manual 17 halaman itu mengandungi status terkini padi angin di Malaysia dan strategi kawalannya yang diperkemaskan dengan SOP baharu iaitu kaedah tabur terus basah atau ClearWR.

SOP itu juga dapat membantu mengurangkan populasi padi angin 30 hingga 45 peratus pada musim pertama manakala 70 hingga 85 peratus pada musim kedua mengamalkannya. 

Melalui kaedah itu, semburan racun rumpai pracambah ‘Pretilachlor’ atau ‘Oxadiazon’ perlu dilakukan tujuh hari sebelum membadai dan menabur benih padi. 

Sementara itu, Timbalan Pengarah Program Pengurusan Perosak dan Penyakit Pusat Penyelidikan Padi dan Beras, Badrulhadza Amzah berkata teknologi itu boleh diaplikasikan pada semua jenis padi sebelum peringkat awal penanaman bagi mengawal populasi bank biji benih padi angin dalam tanah. 
 
Katanya, keberkesanan teknologi itu akan diuji pada peringkat skala besar melibatkan sawah seluas 100 hektar dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Jabatan Pertanian Pulau Pinang, dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Pulau Pinang.

Mengenai kolokium yang diadakan hari ini, ia diadakan seiring dengan matlamat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang telah memilih 2020 sebagai Tahun Kesihatan Tumbuhan Antarabangsa.

Usaha itu bagi meningkatkan kesedaran global tentang kesan perlindungan kesihatan tumbuhan kepada kelaparan, mengurangkan kemiskinan, melindungi alam sekitar dan meningkatkan pembangunan ekonomi sesebuah negara. – BERNAMA

- Advertisement -