‘The Speedy Jantan’ mahu fokus baiki prestasi

KUALA LUMPUR: Jaguh pecut negara Khairul Hafiz Jantan tidak mahu isu di luar trek mengganggu fokus untuk mendapatkan kembali prestasi terbaik selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Atlet berusia 22 tahun yang mula menjalani latihan beberapa minggu lepas, terpalit dengan kontroversi isu perpindahannya dan Muhammad Haiqal Hanafi ke Bukit Jalil bagi menjalani latihan di bawah kendalian Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Dwayne Miller.

Bekas raja pecut Asia Tenggara yang ‘rindukan’ catatan peribadinya dan juga rekod kebangsaan 10.18 saat menegaskan, apa-apa jua keputusan bakal dibuat berhubung masa depannya, perlu mengambil kira persetujuan jurulatih Mohd Poad Md Kassim.

Advertisement

Dikenali dengan jolokan ‘The Speedy Jantan’, atlet kelahiran Melaka itu tidak mahu menjadi ‘kacang lupakan kulit’, sebaliknya beliau tetap sayang dan menghormati Mohd Poad sebagai antara faktor beliau berjaya mencipta nama.

“Beliau yang bawa saya dan Muhammad Haiqal raih pingat emas Sukan SEA 2017 dan 2019. Bagi saya, banyak perkara perlu dibincangkan bersama dan jangan terus buat keputusan.
 
“Sebagai atlet, jangan ambil tahu hal luar trek sebab takut prestasi terjejas. Saya pun baharu kembali selepas kecederaan, tapi apabila ada isu ini, sudah jadi beban buat saya apabila memikirkan perkara tersebut.

“Biar pihak atasan jumpa jurulatih (Mohd Poad) bincang cara baik bagaimana untuk lepaskan saya. Saya sudah lama dengan jurulatih Poad, daripada tidak ada apa-apa sehinggalah pecah rekod kebangsaan dan menang Sukan SEA. Jadi, tidak boleh tinggalkan begitu sahaja,” katanya ketika ditemui Bernama.

Majlis Sukan Negara (MSN) dan KOM dalam proses mengumpulkan semua atlet pecut di bawah satu bumbung di Bukit Jalil untuk berlatih di bawah bimbingan Miller bagi memberi fokus terhadap usaha memperkukuhkan kuartet 4x100m negara.

Keputusan itu menyaksikan Khairul Hafiz dan Muhammad Haiqal terpaksa ‘berpisah’ dengan Mohd Poad yang bertugas di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor kerana jurulatih itu dikatakan tidak mahu berhijrah ke ibu negara.

KOM sebelum ini menjelaskan keputusan meletakkan kedua-dua atlet itu di bawah kendalian Miller bukan berniat ‘merampas’, sebaliknya hanya ingin memberikan yang terbaik.

Sementara itu, Khairul Hafiz yang sedang menjalani latihan bersama atlet pecut elit lain di bawah bimbingan Miller sejak dua minggu lepas, berkata kedua-dua jurulatih itu mempunyai kelebihan dan kekuatan masing-masing.

“Saya ke sini untuk ambil angin baharu, tapi banyak perkara ‘pelik’ pula di luar sana. Saya mahu terus fokus untuk dapatkan rentak tahun ini kerana Sukan SEA mungkin pada Disember, dan saya ada banyak masa untuk memperbaiki diri,” katanya. – BERNAMA