Sidang DUN ‘sulung’ Kerajaan PN Kedah harmoni

- Advertisement -

ALOR SETAR: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang pertama di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih pemerintahan negeri itu Mei lepas berlangsung dalam suasana harmoni, kata Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Beliau berkata tidak seperti di sesetengah negeri yang sering bersidang dalam keadaan yang agak ‘panas’, sidang DUN Kedah yang bermula hari ini berjalan dalam keadaan aman dan pihak pembangkang memainkan peranan mereka dengan baik.

“DUN Kedah bersidang dalam suasana harmoni, politik adik beradik dan semua pertikaian dapat diselesaikan dengan aman damai.

“Saya juga merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak pembangkang kerana dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik sekali pada sesi kali ini,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Ditanya mengenai tempoh sidang DUN selama dua hari yang bermula hari ini disifatkan segelintir pihak sebagai agak singkat, Muhammad Sanusi berkata pada persidangan kali ini tidak banyak perkara yang akan dibincangkan.
 
“Jika ada isu-isu yang perlu dibahaskan dalam dewan, kita akan pertimbang untuk panjangkan tempoh bersidang. Tapi untuk kali ini hanya ada prosedur lantikan speaker dan senator serta perbahasan usul menjunjung kasih titah Tuanku Sultan sewaktu pembukaan sesi dewan April lepas.

“Kita juga ada dua rang undang-undang negeri untuk dibahaskan, itu sajalah jadi tiada keperluan untuk panjangkan sesi kali ini, jika perlu pada waktu lain kita akan panjangkan,” katanya.

Kerajaan PN Kedah terbentuk setelah mendapat sokongan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu 15 daripada PAS, Bersatu (empat) dan masing-masing dua daripada UMNO dan Bebas yang juga bekas ADUN PKR.

Muhammad Sanusi yang juga ADUN Jeneri kemudiannya dilantik dan mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Kedah yang ke-14 di Wisma Darul Aman pada 17 Mei lepas. – BERNAMA

- Advertisement -