KXP: Sanusi runding Ka Siong esok

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kedah akan mengadakan rundingan bersama Kementerian Pengangkutan mengenai projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) esok, demikian maklum Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurutnya, kajian mengenai pembangunan KXP telah dilakukan 12 konsultan dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dengan peruntukan RM21 juta telah disalurkan sejak diawal pengumuman projek itu pada tahun 2015 lagi.

Bagaimanapun maklumnya, projek itu kini tertangguh apabila Kerajaan Pusat mengumumkan bahawa semua projek naik taraf atau pembinaan lapangan terbang baharu hanya akan dipertimbangkan selepas kajian dimuktamadkan.

- Advertisement -

Beliau merujuk makluman tersebut kepada kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan di mana akan dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Kenyataan oleh Menteri Pengangkutan dua minggu lalu bahawa semua projek-projek berkaitan dengan airport akan ditangguhkan sehingga NASP dapat disiapkan oleh MOT.

“Berikutan itu, kita akan menghadapi masalah pelaksanaan KXP, dan kita akan pergi berbincang, berunding dengan MOT pada hari Jumaat ini untuk memastikan pembinaan KXP dapat dilaksanakan secepat mungkin tanpa mengabaikan keperluan kepada NASP yang akan dilaksanakan oleh MOT.

“Perkara ini dimaklumkan kepada saya sewaktu mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara pada minggu yang lalu, dan saya telah membuat temu janji dengan MOT untuk kita bentangkan pelan pembinaan KXP dan semua komponen KXP kepada MOT untuk mereka buat pertimbangan,” maklumnya.

Jelas Sanusi, penangguhan projek tersebut hanya melibatkan perubahan jadual dan pihaknya berusaha melepasi ketetapan-ketetapan yang ada.

Pada 3 Ogos lalu, Menteri Pengangkutan, Dato’ Seri Dr Wee Ka Siong mengumumkan bahawa kementeriannya akan melaksanakan kajian NASP bagi menentukan hala tuju pembangunan lapangan-lapangan terbang dalam negara.

Kajian menyeluruh melibatkan semua lapangan terbang itu turut membabitkan peranan, keperluan ruang udara, ekonomi dan strategik. – HARAKAHDAILY 20/8/2020

- Advertisement -