Sindiket judi dikenakan POCA – KPN

KUALA LUMPUR: Empat ahli sindiket perjudian haram telah dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 pada bulan ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut berhubung penahanan kesemua suspek, Abdul Hamid berkata empat individu berkenaan ditahan di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata siasatan kes berkenaan masih dijalankan terhadap suspek mengenai sindiket-sindiket yang dipercayai terlibat.

Advertisement

Dalam perkembangan lain Abdul Hamid berkata, PDRM akan melakukan rombakan besar-besaran dalam tempoh terdekat, berikutan terdapat dakwaan penglibatan pegawai pasukan keselamatan itu dalam kegiatan perjudian.

“Rombakan tetap akan ada, ia baru dibincangkan dengan Suruhanjaya Pasukan Polis dan akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PDRM di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman, di sini semalam.
 
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, terdapat beberapa arahan dikeluarkan oleh Pejabat Peguam Negara (AG), yang akan dilakukan pihaknya susulan kes penyiaran dokumentari berita antarabangsa Al Jazeera, yang disiarkan Julai lepas.

“Ada tindakan perlu dibuat seperti yang diarahkan oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya AG, yang perlu dilaksanakan,” katanya.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’, berdurasi 25 minit 50 saat, yang mengecam layanan Malaysia terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani penularan COVID-19. – BERNAMA