Kapasiti LRA Pelubang meningkat lebih 50 peratus

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kapasiti pengeluaran air daripada Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang di Kubang Pasu dekat sini, dijangka meningkat lebih 50 peratus apabila kerja menaik taraf loji itu siap sepenuhnya, menjelang 2023.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, projek naik taraf itu bukan sahaja akan dapat menyelesaikan masalah bekalan air yang membelenggu penduduk sejak sekian lama, malah ia dapat mengurangkan kadar air tidak menjana pendapatan (NRW) di negeri ini.

“LRA Pelubang merupakan salah satu loji air utama di Kedah, kapasiti air sebanyak 247 juta liter sehari (MLD) dijangka meningkat kepada 457 MLD (selepas naik taraf) dan dengan siapnya LRA ini, ia akan mampu bekalkan air terawat mencukupi sehingga ke Kuala Kedah dan Megat Dewa, Kubang Pasu.

- Advertisement -

“Kerja naik taraf ini antaranya melibatkan penggantian paip baharu yang lebih besar, kerana saiz sekarang agak kecil dan tidak dapat menyalurkan air dengan cukup, setelah siap LRA ini masalah bekalan air di negeri ini diharap akan selesai,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Menaik Taraf LRA Pelubang di sini, semalam.

Beliau berkata projek itu menelan belanja sebanyak RM450 juta dan peruntukan berkenaan adalah sebahagian daripada RM931 juta, pinjaman yang diperolehi daripada kerajaan Pusat untuk menambah baik lima LRA di negeri ini.
 
Muhammad Sanusi berkata bagi LRA Pelubang, anak syarikat kerajaan negeri iaitu Bina Darulaman Berhad (BDB) ditawarkan projek itu secara rundingan terus, manakala empat lagi projek naik taraf iaitu LRA Bukit Selambau, Sungai Limau, Jenun Baru dan Lubuk Buntar Lama, masih dalam proses penilaian tender.

“Projek LRA Pelubang perlu disegerakan, jadi kerajaan negeri membuat keputusan untuk memberi secara terus kepada BDB, memandangkan syarikat ini merupakan syarikat tempatan dan lebih memahami selok belok dan cara pentadbiran di negeri ini.

“Berdasarkan kepada pengalaman lepas, banyak projek tersangkut dan ia melibatkan syarikat dari luar, jadi untuk projek Pelubang kita tidak mahu ia tersangkut, malah jika boleh mahu ia siap sebelum tarikh yang dijadualkan,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Faris Najhan Hashim berkata, pihaknya komited untuk memikul tanggungjawab berkenaan dan akan berusaha untuk menyiapkan projek berkenaan secepat mungkin.

Beliau berkata, pihaknya sangat berharap masalah bekalan air terutama di Kuala Kedah yang sangat kritikal pada masa ini dapat diselesaikan segera dengan penggantian paip bekalan utiliti itu kepada saiz yang lebih besar bagi menampung keperluan ekoran penambahan pengguna di kawasan itu. – BERNAMA

- Advertisement -