Tamrin Qiadi Muslimat Kuantan cetus kebangkitan

- Advertisement -

KUANTAN: Tamrin Qiadi Muslimat PAS Kawasan Kuantan telah menyuntik semangat peserta untuk terus bangkit memperkasakan diri dan parti walaupun berlangsung dalam prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang ketat.

- Advertisement -

Tamrin dihadiri 90 peserta dalam kalangan kepimpinan tertinggi Muslimat PAS Kuantan dan PAS Cawangan-cawangan termasuk Nusaibah, Nisa’, Briged dan Ameerah ini telah diadakan di Pusat Tarbiyah PAS Kampung Peramu, di sini semalam.

Bertujuan memantapkan pemahaman mengenai peranan dan cabaran kepimpinan, tamrin ini diisi antaranya oleh Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Pengkaderan PAS Negeri Pahang, Ustaz Hazmi Dibok dan Naib Ketua Muslimat PAS Pahang, Ustazah Alawwiyah Khasdan.

Ustaz Hazmi dalam kupasannya gigih menyedarkan hati-hati peserta untuk melihat bahawa kerja memperkasakan akhlak perjuangan bukan sesuatu yang mudah di mana ia menuntut kefahaman kepada asas, dasar, matlamat, pendekatan dan manhaj perjuangan.

Tegasnya, perjuangan ini bukan disebabkan manusia, marah, dendam dan sebagainya tetapi semata-mata kerana Allah serta perlu menyusun gerak kerja, kurangkan bercakap, mendisiplinkan walak dan kepercayaan pada pimpinan.

Manakala Ustazah Alawwiyah pula menyentak lamunan para peserta untuk lebih kritis dan kritikal apabila mempersoal keberanian Muslimat yang tanpa keyakinan serta masih berselindung kebolehan diri dengan pelbagai alasan tidak layak kononnya.

“Muslimat kena bangkit, kena matang dan mencambah idea serta kebijaksanaan untuk perkasakan parti. Jangan berterusan membanyakkan diam dari berfikir positif,” gesanya mendesak supaya membuang minda menolak jawatan, sebaliknya mempertingkatkan keupayaan diri.

Bagaimanapun beliau mengingatkan supaya sentiasa berjuang semata-mata untuk menggapai redha Allah agar sebagai kepimpinan akan terus mantap dan mendewasakan lagi akhlak kepimpinan dan tanzim. – HARAKAHDAILY 17/8/2020

- Advertisement -