Muslimat bantu armalah pohon PENJANA

- Advertisement -

TELUK INTAN: Dewan Muslimat PAS Kawasan Teluk Intan telah mengadakan program Mesra Bersama Ibu Tunggal dengan dihadiri 200 ibu tunggal sekitar kawasan ini yang diadakan di KOMPASTI, Kampung Padang Tembak, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Pertemuan ini bertujuan membantu golongan tersebut untuk mengisi borang bantuan RM300 secara one-off yang disediakan pihak kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bantuan tersebut bagi meringankan golongan itu menerusi inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada Jun baru-baru ini.

Ketua Muslimat PAS Teluk Intan, Robi’atun Mohd Abas memaklumkan, pihaknya bertindak selaku pemudahcara bagi membantu golongan tersebut dalam memastikan pemberian kerajaan itu sampai kepada sasaran.

Kaunter-kaunter dikendalikan petugas Ameerah bagi membantu kelicinan urusan mengisi borang permohonan berkenaan sebelum disahkan Penghulu Mukim dan seterusnya dihantar ke Jabatan Pembangunan Wanita dan Masyarakat Daerah Teluk Intan.

Juga dibuka adalah kaunter khidmat nasihat perundangan dikendalikan Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS Teluk Intan, Mutiaton Said Palah bersama anggota jawatankuasa lajnah itu.

Menurut Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Teluk Intan, Robainah Ismail, program ini juga membantu pihaknya mengumpulkan maklumat ibu tunggal dan ahli keluarga mereka bagi misi bantuan lanjutan.

Hadir sama adalah Penolong Setiausaha PAS Teluk Intan, Zamzuri Din dan Ketua Dewan Ulamak PAS Teluk Intan, Ustaz Mohd Subri Jusoh. – HARAKAHDAILY 17/8/2020

- Advertisement -