PAS Tambun cakna kebajikan ibu tunggal

- Advertisement -

TAMBUN: Bantuan Khas Ibu Tunggal dengan pemberian wang tunai _one-off_ sebanyak RM300 merupakan antara Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang telah diumumkan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun lalu.

- Advertisement -

Ketua Muslimat PAS Kawasan Tambun, Yusmaliza Yusoff berkata, ia merupakan insentif melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) khusus kepada golongan ibu tunggal yang memenuhi kriteria ditetapkan.

Bertindak menyahut usaha pihak kerajaan, pihaknya dengan kerjasama Ketua Jawatankuasa Sementara Pengurusan Kampung (JSPK) Batu 5, Eddy Nor Abdul Manan telah menjayakan sesi taklimat dan panduan mengisi permohonan kepada ibu tunggal, semalam.

“Ini adalah program kebajikan yang diusahakan oleh pihak kerajaan. (Dan) kami di peringkat PAS mengambil inisiatif mengadakan program seumpama ini. Hari ini kita dapat membantu dan menyantuni seluruh 50 orang ibu tunggal yang hadir.

“Insya-Allah program seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa. Kami dari pihak PAS sendiri akan memberi bantuan yang semampunya dan yang sebaiknya untuk bantu semua yang hadir. Semoga segala kesusahan puan-puan hari ini akan digantikan dengan pahala oleh Allah,” jelas Yusmaliza.

Dalam sesi taklimat dikendalikan beliau, terangnya antara kriteria yang layak menerima bantuan ialah ibu tunggal kematian suami, bercerai, mempunyai suami yang sakit dan tidak berkemampuan untuk bekerja.

Turut hadir dalam program itu, Ketua Ulamak PAS Tambun, Ustaz Rusdi Saad dan Pengerusi Lajnah Pembangunan Wanita dan Keluarga Muslimat Tambun, Jamani Azizan serta Ketua PAS Zon Chemor, Ustaz Nordin Ahmad Sidek. – HARAKAHDAILY 16/8/2020

- Advertisement -