Si kaya membantu, si miskin mendoakan

TAMBUN: Pelaksanaan aktiviti kebajikan bukan semata-mata program, namun ternyata bersamanya ada hikmah besar iaitu mengeratkan silaturahim antara golongan kaya dan golongan miskin sebagaimana dituntut Islam.

Advertisement

Demikian dinyatakan Pengerusi Komuniti Peduli Rakyat Ipoh, Ustaz Md Salleh Said selaku juga Yang DiPertua PAS Kawasan Tambun di Dewan Komuniti Taman Hiburan, di sini semalam.

“Harta orang kaya disampaikan kepada orang miskin. Orang miskin mendoakan orang kaya. Orang kaya berasa kasih dan sayang akan orang miskin. Inilah cantiknya (sistem) Islam, yang perlu kita laksanakan bersama-sama,” ujarnya.

Bukan itu sahaja kupasnya, program kebajikan turut memberi hikmah kepada penyumbang iaitu menghidupkan hati dengan jihad bil mal, menghindari sifat bakhil dan sekali gus menginsafi diri bahawa dunia ini bersifat sementara.

Menurut beliau, program ini merupakan hasil kerjasama antara Ketua Jawatankuasa Sementara Pengurusan Kampung (JSPK) Batu 5, Eddy Nor Abdul Manan dan Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Tambun.

Melalui program dijayakan ini, seramai 50 ibu tunggal dibantu mengisi borang permohonan Bantuan Khas Ibu Tunggal yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Dalam ucapannya, Ustaz Salleh menerangkan, pihak kerajaan bukan sahaja menyediakan bantuan one-off RM300 buat ibu tunggal, malah pelbagai insentif dan bantuan lain turut disediakan bagi memelihara kebajikan masyarakat yang memerlukan. 

“(Meskipun) kemungkinan besar kerajaan tidak dapat bagi (bantuan) pada semua, tapi kita ambil satu kaedah fiqh, iaitu ‘sesuatu yang tidak dapat dibuat semua, jangan ditinggal semua’. Kebajikan ini merupakan tanggungjawab kita bersama tidak kira sesiapa pun.

“Sebagai contoh, di antara tujuh Zon PAS di Tambun, Zon Klebang (ini) mereka ada (penderma tetap) setiap bulan dan sasaran penerima bantuan secara berkala yang sememangnya layak menerima bantuan itu,” terangnya. – HARAKAHDAILY 16/8/2020