PKKB2019: Sukar dilaksanakan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan memaklumkan bahawa terdapat kesukaran untuk meneruskan pelaksanaan semula Kampung Baru secara komprehensif berdasarkan Pelan Konsep Kampung Baru 2019 (PKKB2019).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Dato’ Seri Panglima Annuar Musa berkata ia berikutan tidak semua pemilik tanah bersetuju untuk menjual tanah mereka, selain anggaran kos pembelian tanah yang tinggi.

- Advertisement -

“Kementerian Wilayah Persekutuan sejak sekian lama telah menjalankan pelbagai usaha dan pendekatan di dalam membangunkan Kampung Baru.

“Walau bagaimanapun, pelaksanaan pembangunan semula Kampung Baru secara komprehensif berdasarkan Pelan Konsep Kampung Baru 2019 (PKKB2019) dan tawaran pembelian tanah didapati amat sukar diteruskan kerana tidak mendapat persetujuan 100 peratus pemilik tanah (hanya 61 peratus persetujuan).

“(Malahan) Juga melibatkan anggaran kos pembelian tanah yang tinggi sebanyak RM7.4 bilion dan kos-kos lain sehingga mencecah hampir RM10 bilion,” katanya dalam jawapan bertulis di dalam Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) yang meminta penjelas berhubung usaha perancangan kementerian itu untuk membangunkan Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, katanya kementerian telah merangka pendekatan pembangunan yang lebih berfokus dan mengikut keutamaan bagi memenuhi keperluan pembangunan di Kampung Baru.

Jelasnya, kementerian secara serius akan melaksanakan dengan kadar segera menaiktaraf infrastruktur dan jalan-jalan utama dengan kos sebanyak RM353 juta melalui permohonan peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Selain itu, katanya melaksanakan pembangunan secara blok yang dikenalpasti mengikut keutamaan iaitu di kawasan sekitar Masjid Jamek Kampung Baru dan blok-blok tanah yang telah mendapat persetujuan pemilik tanah.

“Pembangunan ini boleh dilaksanakan secara usahasama dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) atau pemaju-pemaju yang berminat.

“Dalam hal ini, Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) akan bertindak sebagai fasilitator bagi melancarkan pembangunan yang akan dilaksanakan agar mengikut dasar dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Kementerian juga akan mengenalpasti satu kawasan yang sesuai untuk dibangunkan sebagai ‘syurga makanan Kampung Baru’ (Food Haven Kampung Baru) bagi menempatkan semula gerai-gerai makanan secara lebih tersusun dan menarik,” jelasnya.

Tambah Annuar (BN-Ketereh), adalah menjadi keutamaan kementerian agar hasrat dan harapan pemilik serta pewaris tanah untuk melihat Kampung Baru dibangunkan sebagai pusat komersil Melayu di pusat bandaraya Kuala Lumpur tercapai di masa akan datang.

Bagaimanapun katanya, pemilikan tanah masih kekal kepada orang Melayu.- HARAKAHDAILY 14/8/2020

- Advertisement -