Pelajar perubatan duduki ‘Exit Exam’ di UPM

- Advertisement -

JAKARTA, Indonesia: Pelajar perubatan Malaysia tahun akhir di Indonesia bakal menduduki Ujian Kompetensi Profesion Perubatan (UKMPPD) atau lebih dikenali sebagai ‘Exit Exam’ di Malaysia pada 16 Ogos ini. 

Pada Jun lepas, Bernama melaporkan pelajar perubatan Malaysia memohon kepada pemerintah Indonesia untuk mempertimbangkan pengecualian mereka daripada mengikuti Exit Exam berikutan ramai yang telah pulang ke Malaysia dan mengalami kesukaran untuk kembali ke Indonesia, berikutan pandemik COVID-19.

Pengarah Education Malaysia di Indonesia (EMI) Prof Madya Dr Mior Harris Mior Harun berkata seramai 134 pelajar iaitu 117 pelajar program kedoktoran dan 17 lagi program kedoktoran gigi (menduduki Ujian Kompetensi Mahasiswa Program Profesi Dokter Gigi – UKMP2DG), akan menduduki Exit Exam di Universiti Putra Malaysia (UPM), bermula 10 pagi.

- Advertisement -

“Disebabkan kesukaran para pelajar untuk keluar dan masuk bagi kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia, maka Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui EMI telah mengemukakan usul kepada Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia (KEMENDIKBUD).

“Perbincangan juga telah melibatkan Pengarah Bahagian Education Malaysia, Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT Redhauddin Kamaruzaman bersama Atase Pendidikan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur Dr Mokh. Farid Maruf, bagi menjayakan urusan berkenaan,” katanya kepada Bernama.
 
UKMPPD adalah prosedur yang wajib diikuti oleh mahasiswa tahun akhir jurusan perubatan di Indonesia sebelum mendapat surat izin praktik sebagai pengamal perubatan, dan ujian itu juga diwajibkan kepada pelajar luar termasuk dari Malaysia sekalipun ujian itu tidak diiktiraf atau diambil kira oleh sistem pendidikan di negara lain.

Berikutan pandemik COVID-19, Exit Exam yang dijadualkan pada Mei lepas ditangguhkan sehingga Ogos ini.

Namun, pelajar Malaysia menghadapi pelbagai kekangan berikutan syarat untuk memasuki semula Indonesia diperketatkan akibat pandemik itu, antaranya hanya warga asing yang memiliki pasport diplomatik atau mempunyai Kartu Izin Tinggal Terbatas (KITAS) dan Kartu Izin Tinggal Tetap (KITAP) sahaja dibenarkan memasuki republik itu.

Selain itu, warga asing juga perlu memiliki sijil kesihatan yang mengesahkan mereka bebas daripada COVID-19, menjalani saringan kesihatan di lapangan terbang di Jakarta, mendapat surat kebenaran bagi yang perlu ke kota lain serta perlu menjalani kuarantin selama 14 hari, selain kos tiket penerbangan yang meningkat berkali ganda, serta syarat-syarat lain yang ditetapkan Kerajaan Malaysia. – BERNAMA

- Advertisement -