Menjejak ekonomi gelap

- Advertisement -

EKONOMI gelap, turut digelar sebagai ‘black market’ atau ‘shadow economy’, merangkumi segala aktiviti ekonomi yang tidak sah di sisi undang-undang (illegal), pendapatan yang tidak dilaporkan (undeclared), serta sering dikaitkan dengan sindiket jenayah dan amalan rasuah.

Selain aktiviti jenayah berat seperti dadah, judi, pelacuran, penyeludupan dan penipuan, termasuk juga dalam ekonomi gelap adalah perniagaan yang tidak dilaporkan bagi tujuan mengelak pembayaran cukai (tax evasion) serta aktiviti pengubahan wang haram (money laundering).

Kesemua aktiviti ini merupakan suatu perlanggaran kepada undang-undang, boleh mengancam keselamatan orang awam, di samping turut menyebabkan ketirisan kepada ekonomi negara.

Menurut bekas Menteri Kewangan pada 2019, saiz ekonomi gelap atau ‘shadow economy’ di Malaysia dianggarkan sekitar 21 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, iaitu RM300 bilion setahun. Jumlah ini meliputi anggaran hasil aktiviti ekonomi yang tersembunyi dan jenayah terancang yang terlepas daripada pihak berkuasa dan sukar dikesan.

- Advertisement -

Manakala sebelum ini, laporan Integriti Kewangan Global (GFI) telah meletakkan Malaysia di kedudukan ketiga tertinggi dalam kalangan negara membangun untuk aliran keluar wang haram bagi tempoh 2001-2010 dengan anggaran USD285 bilion (RM860 bilion).

Namun ketepatan laporan tersebut telah disanggah oleh pihak Bank Negara Malaysia kerana tidak mematuhi kaedah pengiraan dan piawaian sebenar.

Perangi ekonomi gelap

Cabaran terbesar untuk menangani kemelut ini adalah kesukaran untuk mengetahui saiz sebenar ekonomi gelap yang menyebabkan ketirisan cukai kepada negara, di samping kekangan penguatkuasaan untuk menangani sindiket jenayah yang didalangi kumpulan kongsi gelap serta amalan rasuah yang terus membarah.

Selain itu, penularan aktiviti ekonomi gelap turut menjejaskan peluang warga tempatan, khususnya belia dan peniaga kecil untuk mencari rezeki secara sah dan bebas, terdedah kepada ugutan keselamatan dan pinjaman wang haram, serta cenderung untuk memberikan sogokan demi meneruskan aktiviti perniagaan.

Dalam satu tinjauan yang dijalankan sebuah firma kajian pasaran, GreenZebras pada Mei 2020, sejumlah besar responden menyatakan kerajaan harus menyediakan lebih banyak bantuan kewangan kepada pekerja dan majikan (74 peratus) serta meningkatkan kemahiran pekerja (51 peratus) yang telah kehilangan pekerjaan ekoran krisis Covid-19.

Menariknya, majoriti responden turut menyataan adalah penting bagi kerajaan memerangi pasaran gelap sebagai rumusan utama bagi melindungi pekerjaan dalam tempoh genting ini, dengan 58 peratus menyatakan mereka percaya kerajaan harus memastikan aktiviti haram tidak dibiarkan berkembang.

Dengan nada yang sama, sebanyak 47 peratus responden percaya bahawa perniagaan hendaklah dilindungi daripada aktiviti jenayah bagi membolehkannya membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat pasca Covid-19.

Pastinya tanggungjawab besar ini wajar dipikul oleh pihak berkuasa seperti PDRM, SPRM, Kastam dan PBT melalui penguatkuasaan undang-undang secara tegas dan berani. Di samping itu, penglibatan NGO dan masyarakat amatlah perlu untuk membantu kerajaan mewujudkan persekitaran kehidupan dan perniagaan yang kondusif dan selamat kepada semua.

SYAHIR SULAIMAN – HARAKAHDAILY 13/8/2020

- Advertisement -