GLC: Mari kita menyelam lebih dalam

- Advertisement -

DATO’ Seri Ahmad Said dalam sidang DUN Terengganu lalu, telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa Kerajaan Terengganu secara sedar, memberikan banyak jawatan di GLC kepada beberapa individu. Kata beliau lagi, ada di antara mereka bukan anak Terengganu. Maka secara ringkasnya, beliau mahu penjelasan, mengapa terjadi begitu dan tiadakah anak Terengganu yang layak untuk diangkat sama.

Jelas pertanyaan beliau itu, bukan kerana individu-individu itu melakukan salah laku atau melanggar undang-undang dalam lantikan itu ataupun GLC itu mengalami kerugian. Ia hanya isu banyak jawatan dan ada yang bukan anak Terengganu. Tidak lama selepas itu, tersebarlah tangkap layar individu-individu itu dengan biodata lengkap dan pendapatan mereka. Cepat dan tersusun sungguh kerja mereka.

MB menjawab ianya adalah berdasarkan kelayakan. Dan jelas, GLC yang diduduki mereka itu, iaitu TDM, telah membuat keuntungan. Sekali dari tahun 1999-2004, rugi RM20.5 juta kepada keuntungan RM25.5 juta di tahun 2004. Hutang pada waktu itu diturunkan daripada RM236.7 juta kepada RM2.03 juta sahaja. Dan kali kedua dalam tempoh 2018-2020, oleh orang yang sama, hutang telah berjaya dikurangkan sebanyak RM325.2 juta, dari RM791 juta kepada RM465.8 juta.

- Advertisement -

Ramai yang mungkin tidak tahu yang kaunter TDM telah dikeluarkan dari kaunter Syariah di Bursa Malaysia semenjak 2014. Ia adalah kerana TDM telah terlibat dengan pinjaman riba. Manakala kejayaan terbaharu TDM sekarang di bawah ‘orang luar Terengganu’ itu selain mengurangkan hutang ialah, hanya menunggu pengumuman Bursa Malaysia bagi disenaraikan kembali ke dalam kaunter Syariah. Riba satu dosa besar, ia adalah pengisytiharan berperang dengan Allah dan Rasul. Itu ke yang kita nak?

Saya teringatkan fitnah yang ditujukan kepada Menteri Perusahaan Utama, YB Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali. Ketika beliau diamanahkan menjadi Pengerusi TSIS, Duyung Marina Resort dan Hotel Paya Bunga, sekeping gambar dengan pendapatan beliau disebarkan. Ia mencetuskan kemarahan ramai. Bila hotel-hotel itu mencatat keuntungan, TSIS pula diiktiraf kajian-kajiannya sebagai tepat, terutama berkaitan PRU, mengatasi badan-badan yang lain dan sekarang, beliau menjadi Menteri PAS yang ‘perform’. Diam semua sekarangkan? Dah lupa apa yang dikutuk dahulu.

Ketika mula-mula mengambil tampuk pemerintahan Terengganu, MB telah berusaha mengenal pasti mana-mana GLC yang tidak berdaya saing. Ada di antaranya yang saya dimaklumkan, ketika diminta menyediakan pelan perniagaan mereka, mereka hanya membawa sekeping kertas A4 dan kandungan pelan perniagaan mereka, jangka panjang, sederhana dan pendek, hanya terisi setakat separuh kertas A4 itu sahaja. Sungguh menyedihkan.

MB memutuskan untuk menutup 50 GLC yang dikira tidak mampu ditanggung lagi oleh kerajaan. Dengan tindakan itu, kerajaan telah menyelamatkan kira-kira RM150 juta setahun wang rakyat. Sebenarnya jumlah itu lebih besar kerana GLC lain juga ada yang rugi, tetapi masih diperlukan, tidak ditamatkan perniagaan mereka. Bayangkan dari bajet tahunan RM2 bilion, 5 peratus dibuang begitu sahaja. Rakyat tak terasa duit sebanyak ini. Yang mereka marah duit gaji yang diperolehi Ahli Lembaga Pengarah (ALP).

Ketika itu, ada juga suara-suara yang menentang dan kononnya menuduh kerajaan zalim kerana nasib pekerja yang tidak terbela. Sebahagiannya telah diserapkan ke agensi lain. Tetapi yang teruk, mestilah dibuang. Tiada suara Umno ketika itu mahu mempertahankan GLC rugi ciptaan mereka itu. Diam membungkam. Tiada juga ucapan tahniah kepada kerajaan kerana menyelamatkan wang rakyat.

Saya juga dimaklumkan oleh beberapa individu dalam GLC, ketika sebelum 2018, ada ALP tanpa gagal, setiap bulan menghubungi CEO atau Pengurus Besar bertanyakan elaun bulanan mereka. Tapi tetap GLC rugi. Ada yang terpaksa meminjam wang dari Terengganu Incoperated (TI) untuk terus beroperasi. Jadi, ALP tidak kisah dari mana wang datang, asalkan elaun mereka dapat. Mungkin DS Ahmad tidak sedar.

Pernah sekali saya menyertai rombongan media mengiringi Exco ke beberapa GLC, masih terdapat bahan tempahan kepunyaan beberapa orang besar politik yang masih belum diambil dan dibayar. Ini juga antara masalah kepada pengurusan GLC dahulu. Saya cuma bersangka baik, ia akan diambil dan dibayar selepas itu oleh pengurusan baharu GLC yang dilantik PAS. Hutang tetap hutang.

Berkenaan ‘orang luar’ Terengganu, ini adalah mainan persepsi biasa orang politik. Terengganu telah menerima ramai politikus sebelum ini. Dato’ Onn Jaafar, Khadijah Sidek, Dr Burhanuddin al-Helmy, Ustaz Nasharudin Mat Isa (alhamdulillah Mat Sabu tidak diterima). Mereka semua ini memperolehi elaun Ahli Parlimen kerana undi rakyat Terengganu. Kata kuncinya ialah kepercayaan, prestasi dan kelayakan. Malu rasanya jika di zaman sekarang ini masih berbangkit hal kenegerian, bukan kelayakan.

Di Selangor, ramai ADUN-ADUN mereka bukan berasal dari Selangor. Di GLC-GLC di Selangor, ketika PAS turut menjadi kerajaan, ramai juga yang berasal dari Terengganu, mendapat tempat dalam GLC dan lantikan politik. Orang Selangor diam sahaja kerana percaya kepada pilihan pimpinan atas adalah berdasarkan kelayakan. Di Kelantan, Parlimen Kubang Kerian ialah bagaikan Parlimen khusus kepada wakil luar Kelantan. Datuk Takiyuddin itu asalnya Sik, Kedah. Berapa jawatan sudah beliau pegang di Kelantan?

Ada yang berkata, sudah tiadakah anak Terengganu untuk dipilih? Ya menang benar ada. Tetapi mesti dilihat dari banyak segi. Menjadi wakil kepada parti dalam GLC memerlukan kekuatan yang lain, bukan sahaja kemahiran dan kepandaian berkerja. Tidak semua orang mampu. Dan kerana kita mengamalkan parti menguasai kerajaan, maka sudah tentu orang yang dipercayai parti akan diberikan tanggungjawab.

Akibat daripada kegagalan meletakkan orang kepercayaan parti dalam GLC, kerajaan mungkin akan kehilangan kawalan ke atas GLC. Saya ingin mengimbau kembali sejarah di TATI sekitar tahun 1999-2004, berlaku pertelingkahan antara Exco Pendidikan, almarhum Dato’ Ustaz Harun Taib dengan bos TATI yang mana beliau tidak mahu mengikut arahan negeri atas isu wang royalti. Akhirnya beliau dipecat.

Jadi kalau begitu, kenapa PAS marahkan PH melantik orang politik dalam GLC? Ia adalah kerana PH yang berjanji tidak mahu melantik orang politik dalam GLC. PAS hanya menuntut janji-janji mereka. PAS tidak pernah membuat dalam mana-mana manifesto untuk tidak melantik orang politik dalam GLC. Apa janji mereka yang mereka sebutkan, tidak boleh dibebankan ke atas PAS.

Saya yakin dan percaya, kupasan-kupasan sebegini, tidak akan dapat anda baca atau dengar dari mulut pimpinan PAS kerana mereka sangat menjaga hubungan dengan Umno atas nama muafakat. Dari pihak Umno yang setia dengan janji muafakat ini juga tiada masalah. Saya juga sebenarnya tidaklah mahu menyebutnya. Tetapi memandangkan ada ular yang cuba membelit, maka saya cuba merungkaikan belitan itu.

Umno bagi kumpulan yang benar-benar ikhlas mahu menjalinkan Muafakat Nasional menjadi akronim kepada Untuk Muafakat Nasional, OK. Dan bagi golongan dalam Umno yang suka mengugut dan berbelit, berkata bodoh, menuduh itu dan ini kepada PAS ia menjadi akronim Untuk Muafakat Naper Oddo. Bagi yang tidak tahu bahasa asli Terengganu, sila dapatkan khidmat alih bahasa untuk memahaminya.

MOHD NASIR ABDULLAH
13 Ogos 2020 – HARAKAHDAILY 13/8/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -