K’jaan PN komited tingkat ekuiti Bumiputera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kedudukan peratusan ekuiti Bumiputera yang dicatatkan ketika ini lebih kurang 16 peratus dan ia semakin merosot serta membimbangkan jika dibandingkan dengan tempoh sebelum ini, demikian kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun katanya, apa yang penting sekarang adalah usaha yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan bagi meningkatkan kembali peratusan ekuiti Bumiputera itu.

- Advertisement -

“Komitmen kita (kerajaan) adalah untuk berusaha lebih daripada dahulu sebab itu, adanya satu inisiatif baharu umpama Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) di mana dalam majlis ini saya akan teliti dan perhalusi sektor mana yang Bumiputera jauh di belakang.

“Katakanlah sektor pembangunan pembuatan, perbankan atau sektor pertanian. Bila ada data yang lengkap dapat kita kumpulkan melalui unit TERAJU, maka tindakan kita lebih berfokus, sebab itu inisiatif ini akan dilaksankana dengan secara lebih gigih,” katanya pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) yang mempersoalkan kedudukan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam syarikat tersenarai, tidak tersenarai dan kedudukan agensi amanah Bumiputera.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Hasan Arifin (BN-Rompin) berhubung kerjasama ekonomi antara Bumiputera dan bukan Bumiputera bagi meningkatkan penglibatan golongan Bumiputera, Muhyiddin berkata beliau akan memberi perhatian berkaitan hal berkenaan.

“Itu adalah satu usaha yang kita boleh lakukan untuk menggabungkan tenaga dan juga sumber modal daripada Bumiputera dan bukan Bumiputera secara ‘perkongsian tulen’, bukan dengan cara yang lepas, ‘Ali Baba’ dan cara-cara yang tidak berapa sesuai dengan dasar kita.

“Ini yang kita akan beri perhatian dan saya akan beri tumpuan dalam rangka kerja yang kita sedang rancang sekarang ini,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 13/8/2020

- Advertisement -