Berjuang ke akhir hayat, biarpun kesihatan terbatas

Tangisan air mata mengisi ruang MAT PAS Kawasan Tapah

- Advertisement -

TAPAH: Perjuangan perlu diteruskan hingga ke akhir hayat sungguhpun dalam keterbatasan kesihatan kerana amanah dan mandat parti mesti ditunaikan secara jamaie tanpa dikurangi sedikitpun.

- Advertisement -

Demikian diucapkan Yang DiPertua PAS Kawasan Tapah, Ahmad Othman Maseri pada Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Tapah Kali Ke-33 di Kompleks Tarbiah PAS Tapah, Jalan Bidor, di sini baru-baru ini.

“PAS telah banyak melalui ranjau berliku, onak berduri dengan tohmahan dan ujian yang melangkaui batasan pemikiran manusia. Namun kegigihan pimpinan dan pentarbiyahan berterusan kepada ahli memberi nilai tambah serta menyambung nadi perjuangan.

“Dengan bermatlamatkan keredhaan Allah semata, PAS telah merekabina kekuatan dari sudut kerohanian, mental dan fizikal untuk menjalankan kerja-kerja dakwah, siyasah di mana semua ini bertitik tolak dengan asas perjuangan berlandas al-Quran dan as-Sunnah,” ujarnya.

Pasakan semangat dari ucapannya itu diungkapkan dalam keadaan dirinya yang sangat uzur dari kesihatan kian merosot, namun tetap menyatakan iltizam untuk terus melaksanakan tanggungjawab perjuangan.

Tegas beliau, budaya meletakkan jawatan tidak harus menjadi amalan dalam keadaan begitu, malah beliau dalam keterbatasan itu mengakui telah dibantu dengan baik oleh peranan semua Ahli Jawatankuasa PAS Tapah.

Terutama katanya, bantuan dari Timbalan Yang DiPertua dan Setiausaha PAS Tapah, Abdullah Hafiz Ramli dan Noor Farid Zainal hingga membolehkan beliau hadir hampir setiap mesyuarat dan program parti.

Pun begitu pintanya dalam linangan air mata, generasi yang ada mesti bersedia dan beliau memberi isyarat dan bayangan mengundurkan diri dari pemilihan akan datang agar saf kepimpinan diterajui tenaga lebih muda.

Ternyata, para perwakilan dan pemerhati yang khusyuk mendengar tidak tertahan hiba menyaksikan keteguhan perjuangan beliau apabila hampir semua dilihat mengesat wajah dibasahi air mata. – HARAKAHDAILY 13/8/2020

- Advertisement -