Ahli gerakan Islam jangan tinggal usrah

USRAH telah menjadi salah satu daripada amalan pendekatan dakwah sejak zaman Rasulullah S.A.W lagi dan ianya berterusan sehingga ke hari ini.

Rumah al-Arqam bin Abi Arqam menjadi lokasi perkumpulan orang Islam yang pertama secara sir (rahsia). Bukan sahaja para Sahabat diajar dengan ayat al-Quran yang diturunkan malah Baginda Rasulullah S.A.W menekankan proses pembinaan sifat-sifat mulia seperti baik hati, amanah, bertanggungjawab, bercakap benar, berani dan seumpamanya di dalam diri para Sahabat.

Usrah bukan sahaja tempat untuk menyampaikan atau mendapatkan ilmu, malahan ia merupakan tempat untuk sesama ahli kumpulan membincangkan sesuatu masalah yang timbul dan juga tempat untuk membentuk peribadi dan sahsiah ahli usrah dan bertolong-tolongan  apabila ada ahli yang  ditimpa kesusahan. 

Advertisement

As-Syahid Imam Hassan Al-Banna meletakkan 3 Rukun Usrah iaitu:

(1) At-Taaruf, iaitu berkenalan;

(2) At-Tafahum, iaitu bersefahaman; dan

(3) At-Takaful, iaitu saling membantu.

Oleh kerana itu, ahli gerakan Islam jangan tinggalkan usrah walaupun sesibuk mana sekalipun kita. Luangkan sekurang-kurangnya satu jam dalam seminggu untuk hadir ke majlis usrah. 

Dalam PAS, ada usrah di peringkat Cawangan, Kawasan, Dewan, Negeri dan Pusat. Ada juga inisiatif yang diambil oleh Lajnah, Jabatan yang membentuk usrah masing-masing. Di peringkat PAS Pusat sebagai contohnya, satu jam pertama diperuntukkan untuk usrah sebelum mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bersidang. 

Akhir kata; Jangan tinggal usrah.

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL – HARAKAHDAILY 12/8/2020