Segerakan penubuhan RCI-TH

KUALA LUMPUR: PAS mendukung penuh penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dan menyemak semula segala transaksi berkaitan Tabung Haji (TH).

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, keputusan untuk menubuhkan RCI perlu disegerakan bagi menyelesaikan segala kemelut dan campur tangan politik di dalam institusi dana kewangan umat Islam tersebut.

Advertisement

“Saya berharap segala kemusykilan dan kekusutan masalah yang timbul berkenaan isu TH dapat dihuraikan dan didedahkan kepada umum dengan segera.

“Ini termasuklah dengan perincian belanjawan tahunan TH pada dua tahun lepas iaitu 2018 dan 2019 yang gagal dibentangkan di Parlimen,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh

Malah katanya, dengan penubuhan suruhanjaya tersebut diharap dapat menangkis segala stigma dan perspektif negatif terhadap institusi terbabit.

“Semoga segala tohmahan fitnah dan prasangka buruk daripada pelbagai pihak dapat ditangkis dan diperbetulkan hasil daripada pelaksanaan RCI nanti,” jelasnya.

Beliau berharap agar TH akan benar-benar menjadi sebuah institusi harapan dan kebanggaan umat Islam di Malaysia dan dunia Islam umumnya.

Semalam, satu kenyataan telah dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkaitan RCI yang akan diputuskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri bagi meneliti dan menilai segala transaksi yang dibuat oleh pengurusan TH terdahulu. – HARAKAHDAILY 11/8/2020