Adun PAS nafi dikait isu rasuah

Adun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili menafikan terlibat rasuah. (Foto Khairul Azlam Mohamad)
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Terengganu menafikan fitnah kononnya, beliau terlibat dengan isu rasuah bernilai RM500,000 dalam satu projek pasir.

- Advertisement -

Adun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, tohmahan fitnah yang dikaitkan dengan dirinya itu tersebar di media sosial sejak dua hari lalu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Justeru, kata beliau, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan akan meneliti kandungan fitnah yang disebarkan termasuk mengambil tindakan undang-undang.

“Saya (Ir Saiful Azmi) tidak pasti bagaimana isu berkenaan boleh dikaitkan dengan saya dan saya juga hanya mengetahui isu berkenaan daripada facebook yang diviralkan.

“Saya akan tengok dulu sebelum ambil tindakan undang-undang sewajarnya selepas perbincangan bersama pihak peguam, Insya’Allah.

“Saya tidak tahu apa tujuan mereka tetapi dalam politik, ada yang tidak puas hati, apa-apa pun tindakan akan diambil,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi media selepas Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Isu nama Adun Kemasik itu ditular di facebook dengan tersebarnya dakwaan kononnya, terdapat perbualan di aplikasi WhatsApp antara Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Integrity & Strategic Studies Institute (T-ISSI), Nurul Islam Mohamed Yusoff dengan seorang individu.

Carian Harakahdaily mendapati, isu itu mula dimuat naik dalam akaun facebook milik penyokong Pakatan Harapan (PH) bernama Sheikh Khuzaifah.

Manakala, hasil tinjauan di status facebook itu juga mendapati rata-rata pengguna media sosial mempersoal mengapa individu terbabit yang mendakwa mempunyai bukti rasuah tidak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – HARAKAHDAILY 11/8/2020

- Advertisement -