Kos RM23 juta untuk baikpulih Pelabuhan Chendering

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu sedang mengkaji kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah mendapan pasir di dalam ‘harbour basin’ yang amat serius di Pelabuhan LKIM, Chendering, Kuala Terengganu.

- Advertisement -

Masalah itu, menyebabkan bot-bot laut dalam kategori C2 tidak dapat masuk dan mendaratkan hasil tangkapannya di pelabuhan tersebut. 

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, perkara ini telah dalam makluman dan tindakan Jabatan Pengairan dan Saliran dan kerajaan negeri Terengganu.

Beliau turut melahirkan rasa kebimbangan itu apabila nilai pendaratan di Pelabuhan LKIM Chendering semakin menurun sejak 2013.   

“Pendaratan tertinggi direkodkan pada 2012 iaitu sebanyak 17,109.09 MT (metrit tan) yang bernilai RM36,251,847.20 (71 peratus kapasiti). 

“Selepas itu, bermula 2013 pendaratan semakin berkurangan sehingga 1,334.47 MT bernilai RM 5,144,780.83 (5.56 peratus kapasiti) sahaja.

“Pelabuhan ini merupakan sebuah pelabuhan yang aktif suatu masa dahulu. Walau bagaimanapun, disebabkan masalah mendapan pasir di dalam harbour basin yang amat serius, menyebabkan bot-bot laut dalam tidak dapat masuk dan mendaratkan tangkapan.  

“Keadaan menjadi lebih teruk apabila ‘breakwater’ juga telah bocor dan mendap menyebabkan lebih banyak pasir masuk ke Pelabuhan ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika Lawatan Kerja YBTM II Ke Pelabuhan LKIM Chendering, Kuala Terengganu, semalam.

Mengikut rekod, katanya pendaratan ikan di seluruh Kompleks LKIM Pelabuhan Cendering ini hanya menjadi pelabuhan yang ketiga selepas Besut dan Pulau Kambing, Kuala Terengganu.

Menurut Dato’ Che Abdullah, masalah mendapan pasir itu menyebabkan bot-bot terpaksa menunggu air pasang dan perlukan kemahiran untuk melalui alur tertentu bagi mengelakkan kerosakan kepada enjin. 

“Maka ramai pengusaha bot mengalihkan operasi ke Pelabuhan Tok Bali, Kelantan dan Pelabuhan Kuantan, Pahang. 

“Penurunan pendaratan ini mula berlaku sejak 2013 di mana pendaratan direkodkan hanya separuh daripada kapasiti dan semakin menurun hingga sekarang,” jelasnya.

Kata beliau, Pelabuhan LKIM Chendering ini merupakan satu-satunya fasiliti pendaratan ikan yang dibina untuk mengendalikan bot-bot C2, kerana dermaganya yang panjang.  

Menurutnya, kompleks pendaratan LKIM yang lain di Terengganu saiznya lebih kecil dan tidak dapat menampung kemasukan bot C2.

“Kerajaan negeri (Terengganu) sedang mengkaji kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah ini kerana kos yang tinggi iaitu sekitar RM23 juta.  

“Kos yang diperlukan untuk mengendalikan masalah ini adalah tinggi bagi membina struktur pemecah ombak baharu, membaikpulih breakwater sedia ada dan kerja-kerja pengerukan. 

“Harapan MAFI (Pertanian dan Industri Makanan) juga agar kerajaan negeri dan agensi berkaitan dapat mempercepatkan usaha menyelesaikan masalah ini, supaya keadaan yang kondusif bagi pendaratan ikan dapat disediakan,” ujarnya. 

Tambah beliau, sekaligus merancakkan semula industri perikanan laut di Terengganu dan dapat menyokong industri hiliran di negeri ini.- HARAKAHDAILY 9/8/2020

- Advertisement -