Covid-19: PBT ambil tindakan berjaga-jaga

- Advertisement -

ALOR SETAR: Majlis Perbandaran Kulim Kedah dan pengurusan Taman Prindustrian Hi-Tech digesa mengambil tindakan berjaga-jaga walaupun stastistik kes penularan wabak Covid-19 di daerah itu masih terkawal.

- Advertisement -

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, beberapa tindakan susulan perlu diambil sebagai langkah pencegahan untuk memastikan wabak berkenaan tidak terus menular. 

“Pentadbiran PBT perlu membuat pemantauan agar premis perniagaan dan pasar berlesen mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

“Pemantauan itu juga termasuk memastikan tindakan sanitasi di premis perniagaan dan tempat awam diteruskan secara konsisten,” katanya pada satu kenyataan di sini, semalam.

Mesyuarat Khas Tadbir Urus Pihak Berkuasa Tempatan pada 7 Ogos lalu, katanya membenarkan pihak pentadbiran PBT berkenaan mengeluarkan arahan berkaitan tanpa melangkaui ketetapan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kerajaan Negeri. 

Kesempatan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar terus mengikuti arahan dan menjaga SOP yang ditetapkan serta memakai pelitup muka apabila berada di tempat sesak atau kenderaan awam. 

“Harapan saya agar semua patuh dengan arahan KKM, kalau tak ada perkara penting, seeloknya duduk di rumah sahaja.  

“Pengusaha feri ke Langkawi juga dipohon agar pemeriksaan di pintu masuk jeti dan feri diperketatkan,” ujarnya lagi.

Manakala penduduk di mukim yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Kawalan Pergerakan Peningkatan Sasaran (TEMCO) dinasihatkan jangan membuat pembelian panik dan pastikan ketua keluarga yang dipakaikan gelang putih sahaja dibenarkan keluar bahan keperluan harian.

Sementara itu katanya penduduk yang dipakaikan gelang merah, ditegah dan tidak dibenar sama sekali keluar dari kediaman masing-masing. – HARAKAHDAILY 9/8/2020

- Advertisement -