SOP dibuat kerajaan menepati kehendak syariah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kesemua prosedur operasi standard (SOP) yang dibuat oleh kerajaan menepati kehendak syariah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Dato’ Seri Mohd Redzuan Yusof.

- Advertisement -

Menurut beliau, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sentiasa menyediakan SOP atau garis panduan yang patuh syariah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, iaitu Islam sebagai agama Persekutuan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) sama ada penyediaan garis panduan NADMA dalam pengurusan dan penempatan mangsa banjir, mematuhi kehendak syariah terutamanya membabitkan mangsa yang bermalam di Pusat Penempatan Sementara (PPS).

Tambah Ahmad Fadhli, situasi yang berlaku di PPS hari ini menimbulkan kebimbangan apabila sebuah keluarga yang bukan mahram terpaksa bercampur ketika berada di PPS.

Justeru, beliau memohon NADMA melakukan sesuatu bagi mengatasi permasalahan tersebut dan meminta NADMA melakukan persediaan lebih awal dapat disediakan.

Mengulas lanjut, kata Mohd Redzuan (BERSATU- Alor Gajah), SOP yang disediakan bukan sahaja mengambil kira ruang fizikal untuk keselesaan mangsa banjir, bahkan dari sudut penyediaan makanan juga NADMA memastikan penyediaan makanan di PPS menepati standard halal yang ditetapkan.

Malah, ruang ibadat juga turut disediakan dengan mengambil kira jarak fizikal yang digariskan, kata Redzuan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu kata Redzuan, bagi menghadapi banjir besar yang dijangka melanda negeri Pantai Timur itu, 20,000 unit khemah telahpun disediakan sebagai persediaan menghadapi bencana banjir yang lazimnya melanda Malaysia di penghujung tahun itu.

Khemah-khemah tersebut katanya, memiliki ketinggian yang lebih baik berbanding beberapa tahun lalu di mana khemah yang disediakan di PPS sebelum ini hanya paras pinggang dan menyukarkan mangsa banjir untuk menukar pakaian dan sebagainya.- HARAKAHDAILY 4/8/2020

- Advertisement -