Majlis korban PAS Putatan meriahkan Aidil Adha

- Advertisement -

Majlis korban PAS Putatan meriahkan Aidil Adha

- Advertisement -

PUTATAN: Aidil Adha tetap disambut meriah di mana solat sunat Hari Raya, sembelihan haiwan korban, kerja melapah dan agihan dilaksana menurut operasi prosedur standard (SOP) ditetapkan pihak kerajaan.

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berkuatkuasa, PAS Kawasan Putatan berjaya menyempurnakan program korban yang menumbangkan sembilan ekor lembu sepanjang tiga Hari Tasyrik.

Tujuh lokasi telah dipilih untuk menjadi tempat dilakukan penyembelihan lembu korban iaitu di Surau Austral, Kampung Contoh, Masjid Muhibah, Kampung Sailan, Lok Kawi, Pulau Gaya dan PASTI Ketiau, di sini.

Semua urusan ini melibatkan 45 petugas dalam kalangan Ahli PAS Cawangan, Pemuda, Muslimat dan juga Ahli Jawatankuasa PAS Putatan di mana membantu sepanjang proses penyembelihan sehingga serahan daging korban kepada penerima.

Secara keseluruhan, sebanyak 694 penerima terdiri daripada para asnaf dan juga penduduk daripada 14 kampung sekitar Putatan telah menerima agihan daging korban sepanjang sambutan Aidil Adha ini.

Menurut Timbalan Yang DiPertua PAS Putatan, Ustaz Zulzaim Hilmee Abidin, ibadah korban kali ini dilaksanakan dalam keadaan sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Jelas beliau, semua penglibatan petugas adalah secara minima disamping patuh SOP seperti memakai pelitup separuh muka, penggunaan cecair pembasmian kuman dan penjarakan fizikal.

“Kita patuhi dan kita sangat-sangat bersetuju dengan apa yang dikeluarkan oleh MKN (Majlis Keselamatan Negara). Dan kita patuh arahan yang diberikan oleh jabatan agama.

“(Pematuhan ini) tidak memberi impak yang besar terhadap program-program yang kita adakan,” ujar Zulzaim yang juga merupakan Ketua Pemuda PAS Negeri Sabah sewaktu ditemui oleh wartawan RTM dalam salah satu program korban di PASTI Ketiau. – HARAKAHDAILY 4/8/2020

- Advertisement -