Kebakaran: Kerajaan Perak sumbang RM50,000

- Advertisement -

PARIT: Kerajaan Negeri Perak menyediakan peruntukan khas sebanyak RM50,000 bagi kerja-kerja awal membaik pulih Maahad Tahfiz Al Quran Masjid Lama di sini yang terbakar tengah malam tadi.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin berkata sumbangan kepada maahad tahfiz itu, yang ditubuhkan sejak 2008 menggunakan masjid lama, akan dikredit ke akaun milik maahad dalam tempoh sebulan.

“Sumbangan ini diberi untuk mereka memulakan kerja membaik pulih bangunan terjejas. Saya difahamkan kebakaran itu turut menjejaskan bilik tidur guru.

“Tabung bantuan juga sudah dilancarkan, jadi kita turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk bersama membantu membangunkan kembali maahad tahfiz ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi kebakaran semalam.

Beliau turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri Bota Khairul Shahril Mohamed dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin.

Beliau berkata maahad tahfiz itu mempunyai 160 pelajar namun ketika ini ia hanya menerima kemasukan 115 orang bagi mematuhi prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.
 
“Semakan mendapati pusat ini berdaftar dengan JAIPk dan telah dijadikan anak angkat Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar menerusi penubuhan skuad bomba tahfiz sejak 2017,” katanya.

Mohd Akmal menggesa mana-mana maahad tahfiz dan Sekolah Agama Rakyat yang belum berdaftar agar bekerjasama dengan JAIPk supaya agensi berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat boleh melakukan pemantauan demi kebaikan termasuk menubuhkan skuad bomba.

Dalam insiden pada kira-kira 12:30 tengah malam itu, sejumlah 115 pelajar lelaki terselamat dalam kebakaran yang mengakibatkan kerosakan di bahagian asrama, stor, dewan dan bilik kuliah maahad tahfiz yang terletak di Kampung Lambor Kanan, Seri Iskandar. – BERNAMA

- Advertisement -