Wartawan Rakyat berbengkel mantapkan pelaporan

Muslimat Pahang persiap jentera penerangan masuk gerbang PRU15

- Advertisement -

TEMERLOH: Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang menerusi Lajnah Penerangan Media Baru telah mengadakan Bengkel Penulisan Berita yang dilangsungkan di Pejabat Muslimat PAS Pahang, Balai Islam Sungai Gau, di sini semalam.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Muslimat PAS Pahang, Yusma Yusof berkata, Lajnah Penerangan Media Baru Muslimat PAS Pahang sedang menggiatkan penglibatan Muslimat dalam menghasilkan berita-berita rasmi bagi persiapan PRU15.

Sehubungan itu menurutnya, bengkel tersebut adalah lanjutan kepada siri latihan kepada Wartawan Rakyat untuk lebih bersiap sedia memantapkan kemahiran menulis dan kesungguhan hingga ia menjadi satu jihad kepada jamaah.

“Bengkel ini adalah kali kedua diadakan yang telah melahirkan seramai lapan Wartawan Rakyat yang aktif menulis pada bengkel sebelum ini. Jadi bengkel kali kedua ini diharap dapat memantapkan lagi penulisan Wartawan Rakyat yang hadir pada hari ini,” ujarnya lagi.

Selain dari belajar teknik menulis, para peserta juga telah diberi suntikan motivasi oleh Pengarang HarakahDaily, Ustaz Izwan Abdul Halim, agar banyak menulis berita untuk berdaya saing dengan media lain yang kurang melaporkan mengenai PAS.

Oleh itu katanya, setiap berita yang dilaporkan Wartawan Rakyat akan menaikkan imej parti sekali gus menjadi dakwah yang mengangkat perjuangan Islam kepada umum, manakala penulis akan mendapat pahala.

Selain memantapkan teknik penulisan, bengkel ini juga membimbing peserta agar dapat menghasilkan berita yang mempersadakan gagasan, wawasan, idea dan pendirian pimpinan PAS untuk diketengahkan kepada pembaca.

Seramai 19 peserta dipilih mewakili 11 Kawasan hadir di mana urusetia juga memilih peserta terbaik bengkel iaitu Azura Awang dari Paya Besar dan Rahmah Ahmad dari Indera Mahkota serta Nurul Syakira Zainal dari Jerantut. – HARAKAHDAILY 27/7/2020

- Advertisement -