MIROS tangani kemalangan penghantar makanan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Langkah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk mengadakan perbincangan dengan pengendali penghantaran makanan mengenai kadar tinggi kemalangan membabitkan penunggang motosikal perkhidmatan itu, adalah satu tindakan yang tepat dan wajar. 

- Advertisement -

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata tindakan itu harus dibuat memandangkan  syarikat penghantar itu mempunyai tanggungjawab dalam memastikan pekerja mereka mematuhi peraturan jalan raya. 

“Kami mengalu-alukan apa jua usaha yang dapat diambil oleh MIROS untuk menangani masalah kemalangan jalan raya yang membabitkan penghantar makanan. 

“Kami juga memerhatikan kadar kemalangan membabitkan penghantar makanan ini adalah tinggi. Jadi, ia adalah usaha yang kena pada masanya supaya tidak berulang lagi,” katanya.

Pandangan itu disuarakan kepada Bernama selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kali Kedua bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kebimbangan MIROS terhadap kadar kemalangan jalan  raya yang tinggi membabitkan penghantar makanan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
 
Mengulas lanjut, Lee berkata jumlah kemalangan motosikal dapat dikurangkan sekiranya terdapat kesedaran dalam diri mengenai keselamatan di jalan raya sekali gus menjadikan mereka lebih peka terhadap punca kemalangan.

“Apabila sesuatu kemalangan berlaku, ada pelbagai puncanya. Salah satu puncanya adalah kerana mereka tidak mempunyai sikap yang betul.

“Apabila penting adalah perubahan sikap penunggang motosikal itu sendiri. Jika sikap ini dapat diperbetulkan, kami yakin ia dapat  mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,” katanya.

Sementara itu, NGO terbabit menerusi AGM semalam memutuskan untuk mewujudkan dua jawatankuasa khas dalam merancang strategi keselamatan jalan raya  dan keselamatan di air pada Ogos ini.

“Anggota jawatankuasa ini akan terdiri daripada mereka yang pakar dalam dua bidang berkenaan dan objektif utamanya adalah untuk mengadakan perbincangan dengan lebih teliti mengenai pelbagai aspek keselamatan jalan raya dan juga di air,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -