IPOH TIMUR: Dewan Pemuda PAS Kawasan Ipoh Timur telah menganjurkan tamrin yang dilangsungkan di Markas Tarbiyah PAS Ipoh Timur selama dua hari sejak semalam dan berakhir hari ini.
Menurut Pengerusi Lajnah Tarbiyah Pemuda PAS Ipoh Timur, Ustaz Shuhadak Muhammad, tamrin ini bertujuan menjana kekuatan dalaman dan memperkasa agenda tarbiyah anak muda.
Selain itu ujarnya, ia juga merupakan program ukhuwah Pemuda di semua peringkat, selain meningkatkan daya juang dan tahan untuk berdepan dengan segala halangan dan rintangan dalam perjuangan.
Bagi memastikan konsep akidah diterapkan secara jelas kepada Pemuda PAS, tamrin ini menampilkan tiga kertas kerja iaitu Tazkiyatun Nafs dan Kepentingannya, Konsep Akhlak Dalam Islam, Konsep Ibadah dan Aplikasinya Dalam Kehidupan Muslim.
“Aktiviti sebegini sangat penting kepada pemuda kerana ianya dapat memberi kefahaman yang lebih mendalam terhadap perjuangan yang kita dokong ini.
“Pemuda PAS perlu menyedari realiti dan expectation baru ini dengan iltizam menjadi pemain yang berketerampilan dan berkesan dalam medan demokrasi semasa,” katanya.
Menurutnya, dalam mencapai cita-cita menjadi pemain dan peneraju, pemimpin Pemuda harus sedia untuk terus belajar dan mencabar diri serta berani tampil di tengah khalayak.
Termasuk ujarnya, berhujah dalam pelbagai topik dan isu yang menyangkut kepentingan Islam dan kemaslahatan rakyat.
Program ini mendapat komitmen yang tinggi daripada para Pemuda PAS Kawasan dan Jawatankuasa Pemuda PAS Cawangan apabila disertai seramai 22 anggota pemuda.
Turut hadir pengisi slot program adalah Timbalan Yang Dipertua PAS Ipoh Timur, Dr Mohamad Husni Hassan dan Ahli Jawatankuasa Ulamak PAS Ipoh Timur, Ustaz Mubarak Ahmad. – HARAKAHDAILY 20/7/2020