Pemandu mabuk: Bakal pinda hukuman lebih berat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah atau minuman memabukkan boleh dikenakan denda maksimum RM150,000 berserta 20 tahun penjara sekiranya pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) diluluskan Dewan Rakyat.

Malah, tempoh penggantungan lesen juga dicadangkan supaya dinaikkan daripada 10 tahun kepada 20 tahun, kata Menteri Pengangkutan, Dato’ Seri Wee Ka Siong.

- Advertisement -

Menurut Wee [MCA – Ayer Hitam], untuk kesalahan kali pertama, pesalah akan dikenakan denda 15 tahun penjara dan bagi kesalahan seterusnya, pesalah akan dikenakan penjara 20 tahun maksimum.

Sementara itu, kadar denda yang dicadangkan bagi kesalahan pertama ialah RM100,000 dan bagi kesalahan berikutnya ialah RM50,000 maksimum.

“Amaran kita, kalau sudah mabuk ataupun ambil alkohol, jangan memandu. Kita tak cabuli hak orang lain untuk minum, tapi bila dah minum, jangan memandu. Ini akan mudaratkan orang lain!” tegasnya memberi amaran.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim [BN-Arau] dalam sesi pertanyaan jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Untuk rekod, Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 adalah berkaitan kesalahan memandu sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan kerana memandu dengan melulu serta membahayakan.

Seksyen 44 dan 45 pula antara lain berkenaan memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah, sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan.

Akta sedia ada, Seksyen 41 memperuntukkan denda 10 tahun penjara, RM20,000 serta penggantungan lesen 10 tahun maksimum.

Manakala, Seksyen 45 memperuntukkan denda RM6,000 dan penjara 12 bulan maksimum bagi kesalahan pertama serta denda RM10,000 dan penjara 2 tahun maksimum bagi kesalahan berikutnya. – HARAKAHDAILY 15/7/2020

- Advertisement -