MN sedia hadapi PRU15

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jentera PAS dan Umno siap siaga untuk bertempur pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)sekiranya parlimen dibubarkan, kata Ahli Parlimen Pontian Dato’ Seri Ahmad Maslan.

Katanya, gabungan PAS dan Umno yang membentuk Muafakat Nasional (MN) bagaikan pejuang negara yang sentiasa bersedia untuk melawan musuh dari pelbagai penjuru.

- Advertisement -

“PAS dan Umno, jenteranya bagaikan bateri Eveready yang mana kami sentiasa bersedia untuk menghadapi pihak lawan,” tegasnya.

Menurut beliau sejarah-sejarah PRU yang lampau jelas menunjukkan betapa mampan dan stabil pimpinan kerajaan pada hari ini jika dibandingkan dengan kerajaan terdahulu.

Maslan berkata, bukti kemenangan mudah pada PRU -15 dapat dilihat senarionya semasa Umno menang mudah dalam siri-siri Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini bersama PAS.

“Kita sudah melalui enam PRK yang kita menang semua, jadi itu adalah satu rehearsal yang cukup baik.

“Menang di (PRK) Cameron Highland, kemudian menang di (PRK) Semenyih, menang di (PRK)Rantau, menang di (PRK)Tanjung Piai, menang di (PRK)Kimanis.

“Baru beberapa hari (ini) kita menang di (PRK)Chini dan kemenangan itu adalah kemenangan yang besar sebab Muafakat Nasional.

“Apabila kita campurkan undi PAS dengan undi BN (Barisan Nasional) maka kita menang di kawasan-kawasan tersebut.

“Di Chini sebagai contoh 10,000 lebih undi Barisan Nasional dicampurkan dengan 5,000 lebih undi PAS maka kita boleh menang belas ribu majoriti.

“Alhamdulillah terbukti 12,650 kita menang majoriti, dengan lain perkataan PAS dan Umno jenteranya sentiasa bersedia,” ujarnya dalam program Bicara Harakah satu temu bual khas bersama Harakah TV, malam tadi.

Turut diundang pada program Bicara Harakah yang membincangkan topik ‘Bubarkah Parlimen selepas Julai 2020?’ adalah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim.

Sehubungan dengan itu, beliau menjelaskan bahawa gabungan bersama ini melahirkan pucuk pimpinan yang lebih baik dan bebas daripada agenda-agenda yang tersirat.

Malah natijahnya dapat dilihat kepada negara melalui kesejahteraan rakyat sejagat dan pemulihan ekonomi pada pasca Covid-19 ini. – HARAKAHDAILY 10/7/2020

- Advertisement -