Masalah air Kelantan akan selesai berperingkat

- Advertisement -

KOTA BHARU:Masalah air di Kelantan dijangka akan selesai secara berperingkat-peringkat tidak lama lagi apabila Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan memohon peruntukan RM7 bilion menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) daripada kerajaan Persekutuan, bagi menyelesaikan masalah air di negeri itu. 

- Advertisement -

Peruntukkan itu juga termasuk RM594 juta projek pembentungan di bawah RMK-12, yang bermula pada tahun 2021 hingga 2026 yang merangkumi projek pemuliharaan dan pelestrian alam serta sumber air.

Perkara itu diumumkan Menterinya, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man kepada media selepas menghadiri mesyuarat khas bersama Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub, di MABNA, Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Katanya, peruntukkan itu juga turut membabitkan tiga perkara utama iaitu tebatan banjir termasuk pembinaan empangan baharu, penggantian paip-paip lama yang berusia lebih 40 tahun.

Jelasnya, penggantian paip baru amat penting bagi mengurangkan kehilangan air tidak terhasil.

“Pada masa yang sama kita juga berhasrat untuk menaik taraf loji serta projek pembentungan bersepadu.

“Langkah ini diambil selepas mengambil kira kapasiti penduduk yang semakin ramai,”ujarnya.

Tambahnya, pada masa yang sama ianya mampu menyelesaikan masalah bekalan air Kelantan dalam tempoh 30 hingga 40 tahun ke hadapan.

Beliau berkeyakinan, menjelang tahun  2030,  95 peratus masalah bekalan air dapat diselesaikan di negeri itu. 

Turut hadir pada pertemuan itu Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri Dato’ Azami Mohd Nor dan Ketua Setiausaha KASA Dato’ Seri Dr Zaini Ujang.

Tuan Ibrahim berkata, penyelesaian masalah air secara holisitik itu juga melibatkan punca air, bukan hanya menyelesaikan masaalah semata-mata.

Menurutnya, ianya  memberi perhatian yang lebih kepada sumber air sungai atau air permukaan bagi memberi jalan keluar kepada masalah air di Kelantan.

Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat berkenaan turut membincangkan mengenai cadangan untuk menangani air laut resapan di tapak pelupusan sampah, bagi mengelakkan pencemaran kepada sistem air bawah tanah dan sungai dan pengurusan air kumbahan bukan najis.- HARAKAHDAILY 5/7/2020

- Advertisement -