Banteras PATI: Selesai banyak masalah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS berpendirian operasi menjejak pendatang asing tanpa izin (PATI) dan menghantar pulang mereka ke negara asal dilihat dapat menyelesaikan banyak masalah dalam negara.

- Advertisement -

Kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad walaupun langkah ini dipergiatkan oleh kerajaan berikutan mengawal penularan COVID-19, namun ia hendaklah dilaksanakan hingga mencapai matlamat yang lebih menyeluruh.

Menurut beliau, PATI tidak seharusnya berada bebas dalam negara ini tanpa permit kerja sah yang menyumbang kepada statistik isu sosial dan jenayah di negara ini.

Selain Jabatan Imigresen Malaysia katanya agensi lain juga mesti digerakkan sepenuhnya bagi memerangi PATI yang masuk ke negara ini secara haram.

“Usaha proaktif membanteras PATI juga dilihat dapat membongkar kepincangan dalam kalangan penguat kuasa sebagaimana kes-kes yang berjaya didedahkan terutama di selatan tanah air oleh Ketua Polis Johor, Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay.

“Tahniah atas ketegasan membongkar isu ini,” ujarnya kepada HarakahDaily hari ini.

Selain faktor sempadan terbuka negara yang luas kata beliau, integriti penguat kuasa juga menjadi faktor penting kepada kedaulatan negara.

PAS juga berharap kerajaan terutamanya Polis Diraja Malaysia dan semua agensi berkaitan dapat mengambil tindakan sewajarnya supaya barah PATI ini dapat dihapuskan sepenuhnya demi menjaga kedaulatan negara.

” ‘Pandemik’ ini adalah lebih bahaya dari COVID-19 kerana bukan sahaja boleh membunuh, bahkan boleh meruntuhkan negara,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 22/6/2020

- Advertisement -