Yayasan OKU wajar ditubuhkan

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff ketika mengadakan lawatan kerja di Pusat Latihan Armalah Wanita OKU dan Armalah di Bazar Siti Aisyah, Jalan Buluh Kubu, Kota Bharu semalam.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan memperkasakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) memandangkan mereka adalah insan istimewa yang wajar diberi perhatian.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, untuk itu Yayasan Pembangunan orang kurang upaya (OKU) Malaysia wajar ditubuhkan bagi membantu golongan itu.

Katanya, yayasan tersebut mampu menjadi platform terkini bagi membantu golongan OKU menjalankan aktiviti sebagai usaha menambah baik kehidupan mereka.

- Advertisement -

“Yayasan ini juga akan bertindak sebagai badan yang mengumpul dana korporat, syarikat swasta, orang ramai dan pihak lain dalam membantu OKU.

“Dengan adanya yayasan ini, OKU tidaklah hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya masyarakat juga dapat membantu memperkasakan mereka,” katanya kepada media ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di Pusat Latihan Armalah Wanita OKU dan Armalah di Bazar Siti Aisyah, Jalan Buluh Kubu, Kota Bharu semalam.

Bagaimanapun, Anggota Parlimen Rantau Panjang itu berkata, usaha itu masih dalam perbincangan, namun ianya telah dibincangkan di peringkat kerajaan Persekutuan.

Pada masa yang sama beliau berhasrat untuk menjayakan penubuhan Majlis Pembangunan OKU di setiap negeri.

Jelasnya, di Kelantan contohnya telah terdapat banyak program untuk memperkasa golongan OKU yang dilaksanakan penyelaras negeri dan di Parlimen.

“Model pembangunan OKU yang dilaksanakan di negeri ini boleh dijadikan contoh dan diperluaskan ke seluruh negara,” katanya.- HARAKAHDAILY 22/6/2020

- Advertisement -