Pembohongan Sarawak Report terhadap PM

sarawak
- Advertisement -

MERUJUK kepada laporan portal Sarawak Report baru-baru ini kononnya YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melanggar perintah kuarantin di rumah dengan pergi ke luar negara untuk mendapatkan rawatan kanser, ingin ditegaskan ia adalah satu pembohongan dan tuduhan berniat jahat.

Perintah menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari bermula 22 Mei lepas adalah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas seorang daripada pegawai yang hadir mesyuarat pasca-Kabinet dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri disahkan positif COVID-19.

Semasa menjalani tempoh kuarantin, YAB Perdana Menteri sentiasa mematuhi arahan tidak keluar rumah. Semua tugasan rasmi hanya dijalankan dari rumah termasuk mengadakan sidang video dengan YB Menteri Kanan Pertahanan dan Ketua Pengarah Kesihatan.

- Advertisement -

Justeru dakwaan Sarawak Report bahawa YAB Perdana Menteri melanggar perintah kuarantin dengan keluar rumah, apatah lagi terbang ke luar negara adalah sama sekali tidak berasas dan hanya rekaan penulis.

Penulis dan portal Sarawak Report perlu bertanggungjawab atas tuduhan yang dilemparkan kepada YAB Perdana Menteri dengan mengemukakan bukti termasuk menamakan pesawat yang dinaiki, hospital di Singapura dan doktor seperti yang didakwa.

Kegagalan berbuat demikian bermakna laporan yang disiarkan portal itu adalah berniat jahat untuk memburuk-burukkan imej YAB Perdana Menteri.

Amat malang apabila portal berita itu kini berubah menjadi perkakas politik bagi menjaja dan menyebarkan fitnah melalui laporan yang tidak berpaksikan kebenaran.

Fitnah ini merupakan satu gangguan yang tidak perlu ketika negara sedang berhadapan pandemik kesihatan dan cabaran ekonomi yang belum pernah dialami sebelumnya.

Mengenai tahap kesihatan YAB Perdana Menteri, seperti yang telah dilaporkan media sebelum ini, beberapa pakar perubatan telah pun mengesahkan bahawa beliau kini bebas daripada penyakit kanser dan cukup sihat untuk melaksanakan tugas sebagai Perdana Menteri (rujuk Lampiran).

PEJABAT PERDANA MENTERI
16 Jun 2020 – HARAKAHDAILY 16/6/2020

- Advertisement -