Geopolitik, gas Mediterranean, dan soft power

- Advertisement -

GAS Mediterranean menjadi rebutan

(1) Sebelum ini saya ada menulis mengenai persaingan gas Mediterranean, di antara dua blok, iaitu Mesir-Israel VS Turki yang cuba berpakat dengan Libya;

(a) Mediterranean dan Negara-negara yang Berkonflik [1].

(b) Persaingan Gas: Turkstream VS Eastmed [2].

(c) Krisis Sempadan Turki-Greece dan Pergolakan di Idlib [3].

(2) Libya sejak kematian Ghaddafi, mereka hidup dalam suasana konflik yang sangat rumit. Negara itu menjadi medan perebutan kuasa-kuasa luar. Cuma, apabila Mesir sudah mula menyalurkan gas ke Israel (Eastmed), maka Libya adalah tempat yang diperhatikan Turki.

Dari sudut yang lain, di zaman pemerintahan Omar Basyer, Sudan boleh dikatakan agak kamceng dengan Turki. Namun, sejak penghujung 2018 Sudan bergolak sehinggakan Omar Basyer dijatuhkan pada April 2019. [4] [5]

- Advertisement -

(3) Susulan kejatuhan Omar Basyer, Sudan telah mengubah arah ‘kiblat politik’nya ke arah bersama blok Barat dan hari ini sudah pun bernormalisasi dengan Israel [6]. Bahkan, tindakan ini menyebabkan Turki hilang kepentingannya di negara itu.

Namun, Turki tetap gigih meneruskan agendanya, khususnya apabila mendapati peluangnya untuk mempengaruhi Libya. Cuma masalahnya, Libya sedang berkonflik, iaitu gangguan Haftar yang dilihat sangat berpengaruh.

(4) Dalam bab gas Mediterranean, Turki ada pakatan dengan Rusia (Turkstream). Lalu mereka berpakat untuk mengendurkan ketegangan di Libya dengan cara Turki berunding dengan Kerajaan Turki, manakala Rusia berunding dengan Haftar.

Usaha ini dilihat tidak berjaya apatah lagi Haftar ketika itu sudah menunjukkan minatnya terhadap Eropah. Turki pula mengupah pemberontak Syria untuk berhadapan dengan Haftar dengan kos yang agak tinggi.

Kepentingan tanduk Afrika

(1) Ketika penggulingan Omar Basyer, UAE dan Arab Saudi menyatakan akan mendanai USD3 Bilion, dan pada September tahun lepas Sudan telah pun menerima sebahagian daripada amaun tersebut. [7]

Secara ‘atas tanah’nya, amaun tersebut bagi membantu Sudan untuk ‘menyegarkan’ semula sektor ekonominya. Hakikatnya memang ada udang di sebalik batu. Kedua-dua negara blok Barat ini sangat berminat untuk menguasai Tanduk Afrika.

(2) Pada April tahun ini, Kerajaan Peralihan Sudan sedang mengambil langkah untuk menyerahkan penguasaan pelabuhan utamanya kepada sebuah syarikat yang dimiliki oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE). Sudah pasti menguntungkan negara itu. [8]

Ini bukan pertama kalinya UAE mengawasi pelabuhan di benua Afrika. Mereka telah berusaha untuk mengendalikan terminal di Tanduk Afrika sejak kebelakangan ini berdasarkan laporan bahawa DP World memperoleh kontrak di Somalia dan Djibouti.

(3) Agenda UAE untuk menguasai Pelabuhan Sudan tidaklah mudah, kerana tindakan tersebut turut ditentang oleh orang Sudan. Samy al-Sanea, seorang jurutera dan ketua pasukan di bawah Sea Ports Corporation, pengendali pelabuhan nasional Sudan mengesahkan hal ini.

Beliau menyatakan bahawa DP World melaksanakan agenda politik, bukan ekonomi. Bahkan tindakan penswastaan pelabuhan tersebut turut ditentang oleh persatuan pekerja yang dikepalai oleh Aboud al-Sherbini.

(4) Al Jazeera turut menyatakan bahawa syarikat itu dilaporkan telah mengupah seorang bekas pegawai perisik Israel, Ari Ben-Menashe untuk melobi bagi pihaknya untuk mendapatkan sokongan daripada Kerajaan Amerika Syarikat dalam usaha untuk mengendalikan terminal terbesar Sudan itu.

Al-Monitor melaporkan pada bulan Januari bahawa DP World menandatangani kontrak “$5 juta ($1.5 juta dibayar sebagai deposit) dengan Ari Ben-Menashe dan Dickens & Madson yang berpusat di Montreal” untuk melobi Sudan untuk mendapatkan konsesi 20 tahun. [8]

Libya: Medan perebutan kuasa

(1) Al Jazeera turut melaporkan bahawa Timbalan Ketua Majlis Ketenteraan Peralihan Sudan, Dagalo telah menjalin hubungan erat dengan UAE, dan pernah berbincang dengan negara itu untuk menubuhkan parti politik yang baru.

Pada awal Mei tahun ini, media melaporkan bahawa UAE berkunjung ke Sudan untuk mendapatkan bantuan ketenteraan bagi membantu Haftar di Libya yang sedang berhadapan dengan Blok Turki [9]. Di belakang Haftar ialah UAE, Mesir, Arab Saudi dan Perancis.

Manakala Kerajaan Libya (GNA) di’backup’ oleh Qatar dan Turki untuk mengekang Haftar. Niat Turki satu saja, iaitu nak dapatkan kepentingan untuk Turkstream yang saya nyatakan di awal tadi, yang bersaing dengan Eastmed.

(2) Secara ringkas kita dapat faham bagaimana yang saya katakan bahawa Sudan telah beralih ‘kiblat politik’nya daripada Blok Turki kepada Blok UAE. Menjadikan pengaruh Turki di Tanduk Afrika semakin berkurangan

Walaupun ‘tidak dapat rezeki’ di Tanduk Afrika, namun sejak kebelakangan ini pergelutan Turki dengan Haftar di Libya agak menyebelahi Turki. Harapan yang cerah ini bakal meningkatkan kepentingan Turki untuk menjayakan Turkstream.

(3) Sepertimana dalam tulisan-tulisan yang lalu saya ada menceritakan mengenai persaingan kuasa di sempadan Syria, isu Kurdistan dan sebagainya. Walaupun dalam isu Turkstream, Turki boleh dikatakan bersama Rusia.

Namun, dalam isu sempadan Syria, Rusia lebih menyebelahi Syria untuk berhadapan dengan Turki. UAE cuba ganggu ketenteraan Turki di sempadan Syria dengan menawarkan pendanaan USD3 bilion kepada Assad. [10]

UAE berharap usahanya itu dapat mengganggu usaha Turki merebut kepentingan Libya. Namun, tawaran tersebut berjaya dipintas oleh Russia. Ada yang mengatakan persaingan Turki-UAE adalah untuk menguasai soft-power pengaruh Umat Islam di rantau itu.

Kempen memburukkan antara negara Islam

(1) Boleh rujuk beberapa tulisan saya berkaitan isu sempadan Syria;

(a) Krisis Idlib dan Psywar Amerika [11].

(b) Idlib: Krisis yang Rencam dan Berselirat [12].

(c) Kurdish dan Sempadan Turki-Syria [13].

Hasil daripada usaha ‘Turki’ mengacau UAE-Mesir-Saudi yang merupakan blok Barat, mengheret kepada kempen-kempen memburukkan Turki. [14] Begitu juga kempen Turki memburukkan blok itu.

Antaranya media Saudi dan UAE terus menerus mengempen supaya pelancong Arab berhenti berkunjung ke Turki. Begitu juga melaporkan isu jenayah-jenayah, penculikan dan gangguan wanita Saudi di Turki.

(2) Awal Mei, Turki telah dituduh oleh pengulas media blok itu dengan tuduhan menyebarkan virus Corona di Arab Saudi dan negara-negara Arab. Sebelum itu, mereka menimbulkan persepsi negatif terhadap sejarah Uthmaniah. UAE turut menganjurkan persembahan opera yang bertajuk Kingdom Of Fire.

Mereka menggambarkan bahawa Uthmaniah itu bukan sebagai puncak kesatuan Islam, tetapi sebagai masa gelap bagi orang Arab. Saudi pula Arab Saudi menyekat dua portal berita dalam talian Turki, TRT Arabi dan Anadolu Agency (AA).

(3) Sebagai respon, Turki juga telah menuduh UAE menyokong percubaan rampasan kuasa 2016 terhadap Turki. Antara yang menjadi isu juga ialah pembunuhan Khashoggi pada 2018 di konsulat Saudi di Istanbul. Putera Mahkota Arab Saudi dituduh bertanggungjawab terhadap kes ini.

Berikutan kes pembunuhan ini, Turki menjalankan kempen besar-besaran untuk menyingkap wajah sebenar Muhammad bin Salman yang lebih banyak berperanan sebagai boneka Barat.

Pada 2017 ketika Qatar dipulaukan oleh negara Arab, Turki mengambil jalan proaktif. Iaitu dengan mengerahkan pasukan tenteranya dan mengadakan perjanjian dua hala pertahanan dan kerjasama ketenteraan.

Keghairahan meraih ‘soft power’

(1) Dalam isu gas Mediterranean, kita perlu faham bahawa beberapa negara berada dalam satu blok, iaitu UAE, Perancis, Yunani, Cyprus dan Mesir. Masing-masing telah menyatakan kenyataan yang sama, telah menuduh Turki melanggar perairan Cyprus dan ruang udara Yunani. [15]

Kalau diikutkan dari segi geografi, UAE sepatutnya tiada kaitan langsung dalam persaingan ini, apatah lagi negara ini bukanlah negara yang berada di Mediterranean. Sebab itu kita perlu faham percaturan Antarabangsa (soft-power) yang sedang dirancang oleh UAE.

(2) Dalam membahaskan mengenai soft-power ini, saya telah tulis dalam artikel lalu yang bertajuk: Sejarah Konflik Dalaman dan Dasar Luar UAE Hari Ini [16]. Mangsa keghairahan UAE ini, memangsakan gerakan-gerakan Islam seperti Ikhwan Muslimin.

Cuma isu ini agak sensitif. Pastinya ada yang panas punggung apabila isu ini diketengahkan. Boleh saksikan sendiri kempen-kempen yang sedang dipromosikan hari ini, semata-mata nak mendominasi suara Umat Islam.

(3) Antara yang ditimbulkan oleh Kersten Knipp dan Tom Allinson dw.com bertajuk “Turkey-United Arab Emirates rivalry turns rancorous” bertarikh 15 Mei 2020, mengaitkan persaingan ini dengan ideologi politik;

“Whereas Erdogan’s ruling Justice and Development Party (AKP) is ideologically related to the political Islamist movement of the Muslim Brotherhood, the UAE and its allies such as Saudi Arabia and Egypt fear the Brotherhood’s social-revolutionary orientation.”

(4) Beginilah suasana kerencaman dan betapa berseliratnya dunia Umat Islam. Mengejar kepentingan masing-masing sehingga memangsakan rakyat yang tidak berdosa. Antaranya krisis di Libya yang teruk dan sempadan Turki-Syria.

Ahli-ahli Gerakan Islam dituduh, dikambing hitamkan, dan ramai yang digantung hanya semata-mata merebut kepentingan politik Antarabangsa antara negara. Kemudian masing-masing mengaku membawa kesufian.

[1] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3445109698864099/?d=n

[2] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3376143319094071/?d=n

[3] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3522395971135471/?d=n

[4] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3098324600209279/?d=n

[5] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3226318554076549/?d=n

[6] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3445103082198094/?d=n

[7] https://www.reuters.com/article/us-sudan-emirates-saudi/sudan-has-received-half-the-3-billion-promised-by-saudi-arabia-and-uae-idUSKBN1WN137

[8] https://www.aljazeera.com/news/2020/04/uae-steps-gain-control-sudan-main-port-200423205443903.html

[9] https://www.aa.com.tr/en/africa/uae-desperate-to-recruit-more-mercenaries-for-haftar/1826164

[10] https://www.wionews.com/opinions-blogs/poor-relations-between-uae-and-turkey-have-further-complicated-conflicts-in-the-middle-east-300864

[11] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3381515588556844/?d=n

[12] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3429340600441009/?d=n

[13] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3720787877962945/?d=n

[14] https://www.dailysabah.com/opinion/op-ed/why-is-saudi-arabia-and-the-uaes-antagonism-of-turkey-on-the-rise

[15] https://www.dw.com/en/turkey-united-arab-emirates-rivalry-turns-rancorous/a-53454973

[16] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3887423331299398/?d=n

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 12/6/2020

- Advertisement -