Rokok dan COVID-19

- Advertisement -

BUKAN senang untuk tinggal satu tabiat ini, malah tidak semua faham bahawa ketagihannya amat susah untuk dibuang dalam rutin hidup, tapi…

Sekarang perokok mempunyai lagi satu sebab yang kukuh untuk mula meninggalkan tabiat yang tidak mendatangkan faedah ini secara perlahan-lahan tanpa berpatah balik ke tabiat itu tanpa sekelumit sesalan.

Kenapa? Kerana tabiat merokok terbukti meningkatkan risiko untuk perokok yang dijangkiti COVID-19 mengalami komplikasi yang lebih teruk berbanding dan ianya terbukti dalam kajian-kajian klinikal yang dijalankan pada pesakit COVID-19 di China, Korea dan Amerika Syarikat.

- Advertisement -

Dalam kajian tersebut yang menggunakan kaedah meta-analisis, daripada 11,590 pesakit COVID-19, 18 peratus daripadanya (2,133 pesakit) mencatatkan perkembangan penyakit dan 6.3 peratus (731 pesakit) mempunyai sejarah merokok.

Manakala untuk perokok aktif pula, 29.8 peratus (218 pesakit) mencatatkan perkembangan penyakit berbanding pesakit yang tidak merokok, iaitu hanya 17.6 peratus.

Sementara itu, di Malaysia, penelitian dan analisis awal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati jumlah kes kematian disebabkan COVID-19 dalam kalangan perokok lebih tinggi berbanding perokok.

Ini cukup untuk menggambarkan betapa lemahnya sistem imunisasi badan sekiranya perokok secara tidak sengaja dijangkiti COVID-19 dan menjadi asbab mengapa perokok perlu lebih berhati-hati terhadap virus ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan KKM, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah, sejarah merokok dan faktor risiko penyakit tidak berjangkit yang dijalankan ke atas 86 daripada jumlah pesakit yang meninggal dunia di Malaysia mendapati, 19.8 peratus atau 17 pesakit yang meninggal akibat COVID-19 adalah terdiri daripada golongan perokok.

Analisis juga mendapati bagi kes kematian COVID-19 yang tidak mempunyai sejarah penyakit kronik tetapi merokok, jumlah kematiannya lebih tinggi berbanding kes kematian COVID-19 yang bukan perokok, iaitu 17 peratus berbanding 12.1 peratus.

“Merokok merosakkan fungsi paru-paru, justeru menjadikan badan kita lebih sukar untuk melawan COVID-19 dan penyakit lain,” jelasnya baru-baru ini dalam sidang media harian KKM berhubung laporan COVID-19.

Merokok menjadi satu isu yang lebih rumit sekiranya dibincangkan dari sudut fatwa dan hukum, bukan kerana hukumnya tidak jelas, tetapi disebabkan ramai orang Malaysia yang beragama Islam masih setia dengan rokok.

Ia menjadi satu adat yang diwarisi turun temurun dan mempunyai imej kelelakian bagi mata sesetengah masyarakat yang melihatnya, mungkin disebabkan gambaran yang dibawa oleh media tempatan sendiri.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah lama bersetuju memutuskan bahawa ‘Merokok adalah Haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan’.

Namun, kempen-kempen kesedaran yang diambil pelbagai pihak dilihat masih tidak efektif untuk mengekang masalah ketagihan merokok dan lebih parah ia dilihat mula membarah dalam kalangan generasi muda.

Ganjilnya, kesalahan syariah seperti berjudi, minum arak, pelacuran, khalwat dan sebagainya diperuntukkan di bawah kesalahan syariah, namun sehingga kini tiada seksyen khusus mengenai kesalahan rokok di bawah Akta Jenayah Syariah Negeri-negeri.

Justeru itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow berpendapat bahawa penting satu seksyen khusus diperkenalkan bagi menjadikan tindakan menghisap rokok serta bahan-bahan yang berkaitan dengan rokok sebagai satu kesalahan syariah.

Ia bagi memberi satu isyarat jelas serta peringatan kepada umat Islam dalam negara mengenai bahaya merokok.

Namun katanya, untuk menjadikannya sebagai salah satu kesalahan syariah mungkin mengambil masa yang panjang memandangkan perkara membabitkan hal ehwal agama Islam terletak di bawah kuasa kerajaan negeri.

Bagaimanapun, pada pandangan penulis mungkin COVID-19 boleh menjadi satu lagi gesaan terhadap perokok untuk meninggalkan tabiat itu seperti mana COVID-19 berjaya membawa hikmah-hikmah lain kepada rakyat Malaysia sebelum ini.

Tambahan pula COVID-19 merupakan penyakit berjangkit yang menyerang paru-paru. Merokok pula merosakkan fungsi paru-paru dan ini menjadikan badan perokok lebih sukar lawan virus itu dan penyakit lain.

Untuk rekod, tembakau membunuh lebih 8 juta orang di seluruh dunia setiap tahun. Daripada jumlah ini, lebih 7 juta kematian adalah disebabkan penggunaan tembakau secara langsung dan sekitar 1.2 juta adalah disebabkan bukan perokok yang terdedah kepada asap rokok terpakai (secondhand smoke).

Oleh itu, sempena Sambutan Hari Tanpa Tembakau yang diraikan pada 31 Mei setiap tahun, tahun ini Hari Tanpa Tembakau di Malaysia adalah bertemakan “Generasi Muda Mesti Dilindungi”.

Selain generasi muda, KKM menyeru semua peringkat dan lapisan masyarakat menghindari diri daripada tabiat merokok.

“Berhentilah merokok…anda lebih sihat”.

SYAHIRAH SALLEH – HARAKAHDAILY 5/6/2020

- Advertisement -