K’jaan peruntuk RM9 bilion tangani pengangguran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan hampir RM9 bilion yang akan memanfaat seramai 3 juta tenaga pekerja melalui beberapa insentif bagi menangani peningkatan kadar pengangguran dan memastikan pengekalan pekerjaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sebanyak RM5 bilion akan diperuntukkan bagi Perluasan Program Subsidi Upah susulan mendapat sambutan baik oleh pekerja dan majikan sejak diperkenalkan dalam Pakej PRIHATIN dan PRIHATIN PKS Tambahan sebelum ini.

- Advertisement -

Katanya, berikutan kejayaan program itu menyelamatkan lebih 2.2 juta pekerjaan, kerajaan akan melanjutkan lagi program berkenaan selama 3 bulan lagi bagi membantu syarikat dalam tempoh peralihan pembukaan semula ekonomi.

“Memandangkan ekonomi telah pun dibuka secara berperingkat, subsidi upah ini ditetapkan pada kadar RM600 sebulan untuk setiap pekerja sehingga maksima 200 pekerja bagi setiap syarikat.

“Bagi pekerja sektor pelancongan dan sektor-sektor yang tersenarai dalam aktiviti ekonomi yang dilarang sepanjang tempoh PKPB, serta telah diarahkan mengambil cuti tanpa gaji, majikan boleh memohon subsidi upah dengan syarat pekerja tersebut menerima bayaran subsidi secara langsung,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri hari ini.

Selain itu, bagi menggalakkan pengambilan pekerja oleh majikan, kerajaan memperkenalkan Program Insentif Pengambilan Pekerja berjumlah RM1.5 bilion di mana syarikat akan diberikan insentif kewangan untuk memberi pekerjaan kepada golongan penganggur dan belia.

Menurutnya, dianggarkan 300 ribu pencari kerja akan mendapat manfaat melalui dua insentif iaitu bagi menggaji penggangur berumur di bawah 40 tahun sebanyak RM800 sebulan bagi setiap pekerja dan penganggur berumur 40 tahun ke atas serta golongan OKU sebanyak RM1,000 sebulan akan diberi selama 6 bulan.

“Bagi membantu dan menggalakkan penganggur meningkatkan kemahiran, elaun latihan sehingga RM4,000 boleh dituntut daripada PERKESO oleh mereka yang hilang pekerjaan, walaupun mereka bukan pencarum di bawah Skim Insurans Pekerjaan.

“Menangani isu kadar pengangguran belia dan meningkatkan kebolehpasaran graduan, kerajaan akan menyediakan insentif kepada majikan yang menyediakan peluang perantis kepada lepasan sekolah dan graduan pada kadar RM600 sebulan,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 5/6/2020

- Advertisement -