Revolusi tarbiyah

tarbiyah
- Advertisement -

SATU petang dalam tahun 2005, Ustaz Hassan mengajak saya dengan Abang Mat Zain ke Terengganu. Ustaz ada program di sana anjuran PAS Marang, iaitu sekitar setahun selepas Kerajaan PAS Terengganu tumbang. Gelombang Biru yang dilancarkan oleh Datuk Seri Idris Jusoh telah berjaya merampas semula Kerajaan Terengganu dari PAS. Suasana dalam PAS, khususnya di Terengganu masih suram kerana kekalahan ini. PAS Terengganu tidak berputus asa, tetapi dampak kekalahan itu tetap dirasa. Mereka telah mengorak langkah, menyusun semula program-program bagi mengambil semula Kerajaan yang dikuasai Umno dengan tema ‘Islam Hadhari Terengganu Bistari’ itu.

Perjalanan kami petang itu bersulam dengan muhasabah demi muhasabah, menilai punca kekalahan Pilihan Raya 2003. Ustaz ketika ini adalah Timbalan Presiden PAS. Sepanjang perjalanan kami berborak aka bermuhasabah. Abang Mat Zain memandu Hilux membelah Lebuh Raya Pantai Timur menuju ke Terengganu. Sekitar jam 10 malam, kami sampai di Rusila. Malam itu kami bermalam di bilik tetamu, di tingkat atas Bangunan PAS Marang yang mengadap Laut China Selatan itu.

- Advertisement -

“Orang Terengganu dah pandai bertamrin di hotel,” tajam kritikan Ustaz yang tidak didengar oleh orang Terengganu ketika kami bersembang itu.

Saya teringatkan program-program tarbiyah yang disusun di Permai Inn, Batu Buruk. Program-program Dewan Ulamak PAS juga banyak di sini. Ada juga teguran-teguran sinis ketika itu, tapi selalunya dijawab, “Jangan kufur nikmat.” Maklumlah, ketika ini (1999-2004) PAS memerintah di Terengganu.

“Dulu kita bertamrin dan bermukhayam tepi laut, dalam bukit. Kadang-kadang dalam kebun getah. Tebang buluh buat khemah,” Ustaz mengimbau semula kenangan program tarbiyah ketika zaman mudanya.

“Dulu ada ke tamrin, mukhayyam macam sekarang, Ustaz?” saya cuba memanjangkan perbualan kami.

“Masa ana masih di (Madrasah) Yahyawiyah, kita belum kenal tamrin dan mukhayyam. Program tarbiyah ini simple-simple je. Masa ini tarbiyah ini lebih kepada pelajar-pelajar sahaja. Untuk dorong kami bergerak dalam perjuangan Islam. Masa ini lah muncul KPIP dan KPAK, lepas itu jadi KPAS. Awal ’60-an muncul PKPIM pula. Tamrin-tamrin takde lagi. Usrah-usrah pun belum jelas lagi. Sekali-sekali ada pengisian untuk bentuk kefahaman, macam liqa’ fikri sekarang.

“Tahun ’60-an baru ada sikit. Sebab pendekatan Ikhwan dah mula sikit. Ustaz Amaluddin Darus dan Ustaz Abu Bakar Hamzah yang banyak buat kerja ini, tapi mereka sendiri tak pernah ikut tarbiyah Ikhwan, bukan tahu sangat. Ustaz Abu Bakar Hamzah itu, dia rapat dengan Sheikh Taqiyuddin Qandil, orang Ikhwan yang duk di Perlis dulu. Sebab itu dia suka cara Ikhwan,” Ustaz memberikan latar belakang mengenai tarbiyah orang-orang dulu.

“Macam mana bentuk tarbiyah zaman Ustaz Amaluddin itu, Ustaz?” saya cuba menyelidik perbezaan tarbiyah zaman isu, berbanding zaman KPAS.

“Masa ana jadi Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Amaluddin jadi Ketua Pemuda (PAS) Pusat. Dia agak ke hadapan. Dia ini anak murid Sheikh Abdullah Maghribi. Orangnya progresif. Dia nak tarbiyah untuk Pemuda ini lebih kukuh. Zaman dia, dibuat kursus-kursus. Ini bentuk baru, sebelum ini takde. Kursus ini dibuat mengikut tajuk. Yang paling terkenal, Kursus Perjuangan Kita, untuk perjelaskan konsep Negara Islam. Tapi masa dibuat ini, ana dah pergi ke Baghdad. Tahun ’65. Lepas itu, kursus-kursus begini berterusan zaman Ustaz Abu Bakar Hamzah.

“Jadi, zaman Ustaz Amaluddin dengan Ustaz Abu Bakar Hamzah ini (1962-1968), kira dah advance lah tarbiyah kita, banding dengan tahun’ 50-an?” saya terus membandingkan.

“Lebih baik daripada zaman kami (zaman KPAS pada 1950-an). Tapi, masih jauh, kalau nak banding dengan apa yang ana lalu di Baghdad. Silibus tersusun, aktiviti berkala, program tarbiyah pun jelas hala tuju. Tapi apa yang Ustaz Amaluddin buat itu cukup baik, padan dengan tahap kefahaman masa itu.

Perbualan kami sebenarnya berkisar mengenai kritikan Ustaz berkaitan ‘tarbiyah selesa’ di hotel-hotel pada zaman PAS berkuasa di Terengganu. “Tarbiyah ini untuk bina kefahaman dan ketahanan. Kalau duduk tempat sedap, dalam aircond, di hotel, tak salah. Tapi tidak menguatkan jiwa. Tidur dalam aircond, nak bangun tahajud pun susah. Takde suasana tamrin,” Ustaz menjelaskan sebab rungutannya.

“Zaman Ustaz dulu, macam mana bentuk tarbiyah kita?” saya membalikkan pula isu tarbiyah kepada amalan ketika era Ustaz Hassan sendiri.

“Ana agak bertuah dulu. Ustaz Jaiz itu ikut tarbiyah sekali dengan ana dalam KPIP, lepas itu dia gi Maktab Mahmud, di sana dia ikut Sheikh Taqiyuddin Qandil. Bila dia gi ke (Universiti) al-Azhar, dia terdedah banyak dengan cara tarbiyah Ikhwan. Tahun ’68 itu, dia jadi Ketua Pemuda PAS. Dia nak buat perubahan, tapi takde orang yang boleh bawa cara dia. Semua AJK Pemuda tak pernah ikut cara Ikhwan. (Mejar Datuk) Tengku Zaid (Ahmad, Naib Ketua Pemuda PAS) itu pegawai askar, anak raja. Dia ngaji di Kolej Tentera (Sandhurst) di England. Dia tak faham tarbiyah Ikhwan ini.

“Dalam bulan Jun, Ustaz Jaiz lancar program tarbiyah raksasa, bukan kursus lagi. Kali ini dia panggil ‘gerakan.’ Kerana ini tarbiyah skala besar. ‘Gerakan Insaf’ nama dia. Masa ini ana masih di Baghdad, tapi dah habis belajar. Bila ana sampai tengah bulan Ogos, Ustaz Jaiz terus bawa ana masuk dalam Pemuda. Dia suruh jadi Ketua Jabatan Pelajaran dan Tabligh, macam Lujnah Tarbiyah sekarang ini.

“Ustaz Jaiz serah pada ana untuk jayakan Gerakan Insaf. Baru tiga negeri selesai, ada lapan negeri lagi. Kami buat peringkat pertama, ikut negeri. Pimpinan Pemuda PAS negeri dan Cawangan terlibat. Ini pertama kali kita buat secara menyeluruh dari segi penglibatan dan pengisian. Cuma belum boleh secara berkala,” Ustaz mula menjelaskan perihal tarbiyah bentuk baru yang mereka terokai berasaskan pendekatan Ikhwan.

“Kira ini revolusi tarbiyah lah kan,” saya cuba mengukuhkan hujah Ustaz.

“Gitu lah. Kira-kira ini permulaan kebangkitan tarbiyah. Sebelum Ustaz Hadi (Awang) dan Ustaz Yahya (Othman) bawa masuk tarbiyah haraki pada tahun ’75, model Ikhwan juga.

“Apa sasaran Gerakan Insaf ini, Ustaz?” saya bertanya lagi.

“Gerakan Insaf ini, secara politik nak lawan Gerakan Sedar Pemuda Umno di Kelantan. Umno duk jaja di Kelantan, kata orang Kelantan tak sedar kepentingan pembangunan dan kemajuan, jadi dia orang buat gerakan itu untuk pujuk orang Kelantan sokong Perikatan dalam Pilihan Raya ’69. Kita balas, buat Gerakan Insaf, nak ajak Pemuda Islam insaf tentang kedudukan agama yang terpinggir, ancaman ideologi Sosialis-Komunis dan perjuangan Kebangsaan. Kita ajak mereka kepada Islam… Itulah makna insaf.

“Secara dalaman kita pula, kita nak bina pemimpin pelapis yang faham Islam dan reti perjuangan PAS nak tegak negara Islam, di samping nak kukuhkan organisasi di Cawangan-cawangan,” syarah Ustaz mengenai tujuan sebenar Gerakan Insaf.

“Ustaz Halim (Abdul Rahman) Timbalan Menteri Besar (Kelantan) itu lahir dari gerakan ini juga,” Ustaz menyebut secara khusus tokoh-tokoh keluaran Gerakan Insaf.

Detail mengenai Gerakan Insaf, boleh lihat tulisan saya sebelum ini di [1].

“Berapa lama Gerakan Insaf ini, Ustaz?” saya terus menerjahkan Ustaz dengan soalan-soalan, untuk melihat setakat mana revolusi tarbiyah ini berlaku.

“Gerakan Insaf pusingan pertama untuk peringkat negeri-negeri habis dalam akhir ’68 (November 1968). Lepas itu peringkat kedua di Cawangan dan Ranting-ranting.

“Tapi, sebelum Gerakan Insaf ini tamat, ana dah susun program lain, supaya gerakan tarbiyah kita berkala. Program kedua ini, lebih fokus untuk menghadapi pilihan raya. Dalam bulan dua (Februari) ’69, kita lancar pula Gerakan Syuhada. Program ini kita buat lebih ringkas dalam masa sebulan, di setiap negeri. Tujuannya, nak bina Pemuda PAS secara khusus untuk menghadapi Pemuda Tahan Lasak Umno.

“12 rancangan kerja yang kita susun. Serampang dua mata. Pertama, untuk lawan Pemuda Tahan Lasak Umno. Kedua, untuk bina pemuda-pemuda kita dari segi kefahaman tentang perjuangan negara Islam secara demokrasi, bentuk akhlak mereka, kukuhkan perpaduan dan bagi semangat untuk terus berjuang.

“Kita sedar, Pemuda Umno dah jadi samseng. Jadi kita perlu Pemuda PAS yang berani syahid. Itu lah Gerakan Syuhada,” detail Ustaz mencerakinkan mengenai gerakan tarbiyah tersebut. Sebaik sahaja Gerakan Syuhada selesai pada awal Mac 1969, dalam bulan itu juga, Parlimen dibubarkan, membawa kepada Pilihan Raya Umum pada 10 Mei 1969. Ketika itu juga, budaya politik samseng Umno bertembung dengan sikap Cauvinis kaum Cina yang membawa kepada Tragedi 13 Mei.

“Kalau enta faham, gerakan-gerakan tarbiyah yang kami buat inilah yang menjadi punca berlakunya kebangkitan Islam di Malaysia dalam tahun ’70-an itu. Tarbiyah haraki dalam PAS juga bermula dari sini. Bahkan, pemuda-pemuda yang bangkit membentuk Kepemimpinan Ulamak dalam PAS juga berakar-umbi dari sini,” jelas Ustaz yang kelihatan puas hati dengan hasil usahanya itu. Saya sebenarnya turut mendengar rumusan serupa dari Ustaz Jaiz Anwar ketika Dewan Pemuda PAS menyambut Jubli Emas di Markas Tarbiyah Sungai Pau, Kedah.

“Wow! Ini benar-benar revolusi!” saya menzahirkan kekaguman kepada usaha Ustaz.

Semoga Allah melimpahkan kurnia-Nya kepada Ustaz.

[1] https://www.google.com/amp/s/harakahdaily.net/index.php/2020/01/27/gerakan-insaf-membangkit-jiwa-kesedaran-islam/amp/

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 29/5/2020

- Advertisement -