Dikepung Pemuda Tahan Lasak

tahan
- Advertisement -

SEPANJANG tahun 1999, ramai betul pimpinan PAS Kawasan-kawasan mengunjungi Ustaz Hassan, baik di Pejabat Agung PAS, Taman Melewar mahu pun di rumahnya. Kadang-kadang sebelum Subuh mereka sudah sampai. Seusai sahaja Ustaz membaca al-Quran di beranda rumahnya, sebelum pejabat dibuka, mereka sudah berurusan dengan Ustaz. Kadang-kadang siang hari, kadang-kadang malam pun masih ada yang berkunjung. Macam tak tertangan Ustaz melayan mereka.

“Dia orang nak apa, Ustaz?” saya bertanya kehairanan, sebab ramai betul orang yang bertandang ke rumah Naib Presiden PAS ini. Macam ada isu besar.

“Masing-masing melobi supaya calon mereka terpilih untuk mewakili PAS dalam pilihan raya ini (1999). Biasalah. Satu geng kata, Si A ini calon yang mereka sokong terbaik. Yang satu geng lagi kata Si B yang terbaik, sebab itu mereka sokong. Kadang-kadang tuan badan tak tahu pun, tapi penyokong masing-masing yang bersungguh-sungguh. Nak calon pilihan mereka terpilih.

- Advertisement -

“Yang datang pagi ini, kata Ustaz Idris (Ahmad) calon yang terbaik. Yang malam tadi itu kata Ustaz Sidik Nor,” jelas Ustaz mengenai usaha-usaha yang dibuat oleh beberapa pimpinan PAS Kawasan Bukit Gantang melobi calon pilihan masing-masing dalam menghadapi Pilihan Raya Ke-10 yang dijangka akan berlaku dalam tahun 1999 itu juga, kerana pilihan raya sebelumnya diadakan pada 1995.

Ketika masih banyak ‘wakil-wakil’ datang bertamu di rumah Ustaz, saya bertanya, “Ustaz jawab apa kat depa,” saya cuba mencari titik penyelesaian yang dibuat oleh Ustaz. Ketika ini Ustaz menjadi rujukan Kawasan-kawasan dalam memutuskan calon, kerana Ustaz adalah salah seorang penandatangan sah mewakili pimpinan PAS, bagi membolehkan seseorang calon menggunakan simbol Bulan sebagai lambang dalam pilihan raya.

“Ana kata, sabar. InsyaAllah, pimpinan akan buat keputusan terbaik,” jawab Ustaz.

“Dia orang kata apa?” saya bertanya lagi.

“Dia orang kata, calon kita itu YDP Kawasan. Dia mesti bertanding. Macam-macamlah hujah dia orang bagi.

“Ana jawab, ana ini bukan tukang sain borang calon je tahu, tapi ana ini Naib Presiden PAS. Naib Presiden ini pun takde kerusi juga. Tak bertanding kat mana-mana. Kalau setakat YDP takde kerusi, biasalah,” tajam Ustaz memukul mereka sambil berseloroh.

“Terdiam mereka.”

“Ustaz tak bertanding ke?” saya bertanya Ustaz mengenai kedudukan beliau dalam pilihan raya kali ini.

“Tak. Last ana bertanding tahun ’86. Di Parlimen Batu ini lah,” Ustaz menjawab dengan pasti, bahawa beliau sendiri tidak bertanding.

“Kenapa?” saya kehairanan, sebab Ustaz adalah pemimpin nombor tiga PAS selepas Ustaz Fadzil Mohd Moor (Presiden) dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Timbalan Presiden).

“Kalau kita tidak bertanding, kita tidak ada kepentingan. Kita tidak berpihak bila menyelesaikan masalah Kawasan yang bertikai. Kita sendiri pun tak payah berebut. Tak bagus, seorang yang berkepentingan dalam pemilihan calon, menjadi calon juga. Takkan dia nak gugurkan nama dia sendiri atau kawan dia,” Ustaz menonjolkan soft skill yang dimilikinya dalam pengurusan konflik parti. Satu pelajaran yang untuk pemimpin PAS masa kini.

“Bila Ustaz pertama kali jadi calon?” saya mula membawa Ustaz bernostalgia mengenai kisah lamanya.

“Masa ana balik dari Baghdad dulu, terus kerja di Taiping, Pejabat Perhubungan PAS Perak. Dalam enam bulan, Parlimen bubar (31 Mac 1969). PAS Sabak Bernam minta ana bertanding, sebab situ kawasan orang Banjar. Orang Banjar ini kuat PAS. Ana pula anak Banjar Sabak Bernam. Jadi dia orang suruh ana bertanding di Parlimen Sabak Bernam dan DUN Sungai Besar. Dua-dua lawan Umno. Di Sabak Bernam lawan Dato’ Mustafa Jabbar, di Sungai Besar lawan Taliban (Hassan). Tapi ana kalah kedua-dua, sebab Umno kuat. Orang Jawa sokong Umno masa ini, tapi ana tak hilang deposit,” Ustaz menjelaskan kisah beliau pertama kali menjadi calon PAS, tak sampai setahun selepas balik dari Baghdad.

Dalam Pilihan Raya 1969 ini, Ustaz telah mencatat keputusan berikut:

Parlimen Sabak Bernam

(1) Datuk Mustafa Jabbar PER 12,827
(2) Ustaz Hassan Shukri PAS 6,073
Majoriti 6,754

DUN Sungai Besar

(1) Taliban Hassan PER 5,787
(2) Ustaz Hassan Shukri PAS 3,524
Majoriti 2,263

“Apa isu besar dalam pilihan raya ini, Ustaz, sampai PAS tak hilang deposit?” saya beralih kepada isu sebenar yang hangat ketika itu.

“Kita bawa isu ketuanan Melayu, kedudukan agama Islam, bahasa Melayu dan Jawi, selain isu ekonomi. Sebab masa ini, orang Melayu dah rasa terancam, orang Cina pula dah mula naik toncang. DAP desak Kerajaan supaya semua bangsa diberi hak sama rata dalam semua perkara, hapus hak istimewa Bumiputera.

“Jadi, Perikatan terpaksa main politik. Dia tuduh PAS ini Komunis. Ahmad Yatim, besan Ustaz Amaluddin Darus kena ISA sebab dituduh terlibat dengan Komunis di sempadan Siam. Dia Exco Kelantan masa ini. Umno pun tuduh, PAS dengan DAP berpakat. Untuk bagi nampak Umno ini Islamik, depa anjur Persidangan OIC di Kuala Lumpur. Di Kelantan, Umno tawar projek RM500 juta kalau orang Kelantan pilih Perikatan,” Ustaz memberikan gambaran umum mengenai suasana Pilihan Raya 1969.

“Selain Ustaz, sape lagi pemimpin Pemuda PAS yang bertanding,” saya bertanya lebih detail.

“Tahun ’69 ini ramai Pemuda (PAS) yang bertanding. Tapi, dalam pimpinan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Jaiz (Anwar) bertanding di Besut, ganti Haji Daud (Samad). Tengku Zaid (Ahmad) di Pasir Mas Hulu. Lawyer Wan Hashim (Ahmad) di Kota Bharu (Timur). Wan Hassan (Wan Daud) di Lemal. Ustaz Amaluddin (Darus) di Ulu Kelantan (Timur). Ana, Ustaz Jaiz dan Ustaz Amaluddin yang kalah, lain semua menang,” Ustaz menyebut beberapa nama pemimpin Dewan Pemuda PAS yang bertanding ketika itu.

“Ada pengalaman pelik tak, masa first time masuk pilihan raya ini?” saya cuba mengorek sisi rahsia Ustaz.

“Pilihan Raya ini paling dahsyat. Pertama, sebab kita bertembung dengan gerakan politik orang Cina selepas Lee Kwan Yew (Perdana Menteri Singapura) dah keluar Malaysia (pada 1965). Pengikut Lee Kwan Yew tubuh DAP. Lepas pilihan raya ini berlaku 13 Mei. Kedua, dalam tahun ’68 (Datuk) Senu (Abdul Rahman, Ketua Pemuda Umno) telah lancarkan Revolusi Mental untuk lawan PAS. Dia pun tubuh Pemuda Tahan Lasak Umno. Di Kelantan dia orang buat Gerakan Sedar untuk tawan Kelantan.

“Ana takde masalah dengan Revolusi Mental dan Gerakan Sedar, sebab kita boleh lawan hujah. Tapi Pemuda Tahan Lasak ini jahat dan samseng. Ana sendiri, sebagai calon di Sabak Bernam, berapa kali dikepung oleh Pemuda Tahan Lasak. Ok lagi. Ustaz Jaiz itu orang Sungai Sumun (Hilir Perak), jadi calon di Besut, Terengganu. Pemuda Tahan Lasak ini bukan setakat kepung, siap ugut bunuh. Tapi nasib baik pemuda-pemuda kita ada juga berkawal dan jadi pengiring.

“Tengku Zaid bertanding di Pasir Mas Hulu. Hussein Serama (Tan Sri Hussein Ahmad) bertanding DUN dalam kawasan itu. Dia itu kira kepala Pemuda Tahan Lasak. Bukan setakat kepung, sabotaj ceramah, bakar jambatan, curi IC, macam-macamlah orang dia buat nak bagi kalah PAS.

“Masa ini, PAS ada calon-calon Muslimat. Macam Ustazah Salmah (Sheikh Hussein) lawan (Tan Sri) Fatimah Hashim di Kedah. Tapi, sebab budaya politik samseng ini, ulamak PAS buat keputusan, kita tidak benar dah PAS letak Muslimat sebagai calon, bukan sebab haram, tetapi sebab ancaman keselamatan. Sampai sekarang (1999), kita tak benarkan Muslimat jadi calon,” Ustaz menyebut pengalaman pahitnya berhadapan dengan keganasan politik Pemuda Tahan Lasak Umno pada 1969 itu.

Saya mengutip banyak mutiara ilmu daripada perbualan kami pada pagi itu. Saya faham mengenai sulitnya perjuangan menegakkan Islam, saya tahu apa sebabnya Muslimat tidak dibenarkan bertanding. Saya bukan sahaja mengerti mengenai nilai jawatan yang direbuti, tetapi juga diajar mengenai keadilan sebagai pemimpin.

Teringat saya kepada pesan Tok Guru Haji Hadi dengan firman Allah:

“Berlaku adillah, kerana adil itu dekat dengan taqwa.”

Semoga Allah menerima perjuangan dan jihad Ustaz…

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 27/5/2020

- Advertisement -