Berjabat tangan antara ajnabi menurut 4 mazhab

- Advertisement -

RASULULLAH S.A.W merupakan seorang individu yang mampu mengawal diri. Baginda selamat daripada bertindak melangkaui batasan syariat. Walaupun Baginda mampu mengendalikan tingkah laku Baginda, Baginda tidak pernah sesekali bersentuhan dengan wanita bukan mahram. Sekalipun dalam urusan bai’ah, yang prinsip asalnya ialah dengan berjabat tangan.

- Advertisement -

Ma’qil bin Yasar menyebutkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لئن يطعن في رأس أحدكم بمخيط من حديد خير له من أن يمس امرأة لا تحل له .

“Ketahuilah jika kepala seseorang lelaki ditusuk besi tajam, maka itu lebih baik buat dirinya berbanding dia menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya.”

(Hadis Riwayat at-Thabrani dan al-Baihaqi)

Daripada Saidatina Aisyah beliau berkata:

لا والله ما مست يده صلى الله عليه وسلم يد امرأة قط في المبايعة.

“Tidak, demi Allah. Tangan Rasulullah S.A.W tidak pernah sekali pun menyentuh tangan wanita ketika berbai’ah.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Daripada Umaimah binti Raqiqah beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:

إني لا أصافح النساء .

“Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan para wanita.”

(Hadis Riwayat an-Nasaie dan Ibn Majah)

Sepakat ulamak 4 mazhab berdasarkan pendapat yang terpilih, bahawa haram berjabat tangan antara ajnabi.

Ulamak Hanabilah pula berkata, hukum tersebut merangkumi sama ada bersalaman dengan berlapik ataupun tidak.

Ringkasan pandangan ulamak 4 mazhab seperti berikut:

(1) Mazhab Hanafiyah

Ibn Najim berkata:

“Tidak harus bagi lelaki menyentuh wajah perempuan, tapak tangannya sekalipun tanpa syahwat kerana ketiadaan darurat.”

(Al-Bahru ar-Ra’iq)

(2) Mazhab Malikiyah

Muhammad bin Ahmad berkata:

“Tidak harus bagi lelaki menyentuh wajah seorang perempuan ajnabiyah, begitu juga tapak tangannya. Maka tidak harus bagi kedua-dua mereka menyentuh tangan masing-masing tanpa berlapik.”

Saidatina Aisyah berkata:

إنما كانت مبايعته صلى الله عليه وسلم النساء بالكلام

“Sesungguhnya Rasulullah S.A.W hanya mengambil bai’ah para wanita melalui ucapan.”

(Manhul Jalil Syarh Mukhtasar Khalil)

(3) Mazhab Syafieyah

Imam an-Nawawi berkata:

ولا يجوز مسها في شيء من ذلك

“Dan tidak harus menyentuh wanita pada keadaan-keadaan tersebut iaitu ketika transaksi jual beli, serah terima barang, dan lain-lain.”

(Al-Majmuk)

Sheikh Waliyuddin al-‘Iraqi berkata:

“Bahawa Rasulullah S.A.W tidak menyentuh tangan wanita selain para isteri Baginda. Baginda tidak bersalaman ketika membai’ah mereka, juga tidak menyentuh wanita pada urusan selain bai’ah.

“Jika Nabi pun tidak melakukan perbuatan sedemikian, sedangkan Baginda terjamin maksum, maka bagi insan selain Rasulullah S.A.W, lebih-lebih lagi aula meninggalkan perbuatan tersebut.

“Dan berkata fuqaha’ dalam kalangan kami:

“Sesungguhnya diharamkan bersentuhan dengan wanita ajnabiyah sekalipun pada anggota yang tidak termasuk dalam aurat seperti muka dan tapak tangan.

“Oleh itu, pengharaman bersentuhan antara lelaki dan perempuan lebih kuat berbanding pengharaman melihat wajah satu sama lain tanpa syahwat.

“Pengharaman ini berkekalan selagi tidak wujud darurat. Jika berlaku darurat, seperti keperluan rawatan perubatan maka harus bersentuhan apabila tiada perawat sesama jantina.”

(Thorhu at-Tatsrib)

(4) Mazhab Hanabilah

Ibn Muflih berkata:

“Imam Ahmad pernah ditanya soal seorang lelaki yang berjabat tangan dengan wanita. Lalu beliau berkata:

“Tidak harus, dan beliau sangat menegaskan larangan tersebut.”

“Aku berkata:

فيصافحها بثوبه؟

“Kalau dia bersalaman dengan bajunya sebagai lapik?”

“Imam Ahmad tetap menjawab:

“Tidak.”

(Al-Adab asy-Syar’iyah)

Kesimpulannya, ulamak 4 mazhab telah bersepakat akan pengharaman bersentuhan antara lelaki dan perempuan melainkan jika ada darurat atau keperluan yang mendesak.

Wallahu a’lam.

SOFIA ALWANI ALI – HARAKAHDAILY 26/5/2020

- Advertisement -