Ringkasan Syarah Mawaqif (Bab ketuhanan) – Siri 3

- Advertisement -

KEEMPAT: Muktazilah

Muktazilah membuktikan dalil kewujudan Allah S.W.T, tanpa menggunakan sebarang dalil naqli. Antara faktor-faktornya ialah:

(a) Muktazilah muncul ketika ‘zaman fitnah’ pada tahap kritikal. Maka mereka menggunakan dalil akal untuk berhujah dalam perdebatan.

Mereka muncul pada zaman kejatuhan Saidina Ali, dan digantikan dengan Mu’awiyah bin Abi Sufyan dan mereka berpihak kepada Saidina Ali. Setelah kejatuhan Saidina Ali, mereka bersembunyi daripada manusia, dengan berkata “kita fokuskan kepada ilmu dan ibadah semata-mata”.

(b) Mereka menggunakan dalil akal, tidak bermakna mereka mengabaikan dalil naqli. Mereka mengaplikasikan dalil naqli di dalam ibadah, dan pegangan. Manakala dalam aspek perdebatan, mereka menggunakan dalil akal.

(c) Pada zaman ini juga, tersebarnya proses penterjemahan kitab. Maka, pemahaman yang paling mudah untuk diserapkan ke setiap lapisan masyarakat adalah dengan menggunakan dalil akal.

- Advertisement -

Dalil Muktazilah mengenai kewujudan Allah

(1) Dalil baharu.

Sebelum mengenali mengenai ‘dalil baharu’ kita perlu mengenali 4 pembahagian dalil mengikut Muktazilah, iaitu:

(a) Kekuatan hujah akal.
(b) Kekuatan hujah al-Quran.
(c) Kekuatan hujah Hadis.
(d) Kekuatan hujah Ijmak.

Perkara yang dikaitkan dengan ‘baharu’ mengikut pandangan Muktazilah ialah:

(a) Baharunya ‘aradh’ العرض.

Kita perlu tahu mengenai baharunya ‘aradh’ dengan dua perkara ini:

(i) Aradh itu wujud.
(ii) Aradh itu baharu.

Maka, kita perlu mengesahkan kewujudan ‘aradh’ kemudian kita mengesahkannya sebagai ‘baharu’. Setelah itu, barulah kita melihat bahawa aradh memerlukan kuasa yang mewujudkannya. Kuasa itulah Allah S.W.T.

(b) Baharunya ‘jisim’.

Dalil membuktikan baharunya jisim melalui tiga cara:

(i) Membandingkannya dengan Allah S.W.T, dan kita mampu mendengar bunyi yang terhasil daripada jisim. Maka, ia menunjukkan bahawa jisim tersebut baharu.

(ii) Membandingkannya dengan sifat qidam pada Allah (tiada permulaan bagi kewujudannya).

Iaitu, sekiranya jisim itu tidak baharu, maka ia qadim (baharu lawan bagi qadim). Maka, sudah pasti terjadi penyerupaan pada Allah kerana terdapat dua yang qadim, iaitu jisim dan Allah. Maka perkara ini mustahil, kerana qadim itu mestilah tidak berbilang.

(iii) Alam tidak terpisah dari unsur-unsur baharu, dan tidak juga mendahuluinya (dengan sifat qadim). Maka, sudah pasti alam itu baharu seperti unsur-unsur baharu tersebut.

Dalil ini terbentuk dengan mengesahkan kewujudan ciptaan, kemudian mengesahkan ke’baharu’annya.

(2) Dalil memerlukan.

Sama sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini di dalam pandangan al-Asya’irah. Iaitu berkaitan dengan ‘keperluan’ jisim dan aradh, kepada satu kuasa yang dapat mengaturnya, dan mewujudkan kedua-duanya daripada tiada.

Contohnya, mana mungkin kita kita boleh membesarkan diri kita sendiri tanpa ibu bapa yang menjaga. Bolehkah seorang bayi itu membesar dengan sendirinya? Adakah kita tidak sedar jantung kita berdegup walaupun kita sedang tidur? Ataupun paru-paru kita bernafas sedang kita tidak sedar?

Bolehkah kita berlari tanpa menggunakan tangan dan kaki? Maka semuanya memerlukan kepada Allah yang memberikan tangan dan kaki untuk bergerak, paru-paru untuk bernafas, dan sebagainya.

Maka, semua ini membuktikan kewujudan Allah S.W.T, disebabkan zahirnya keperluan manusia terhadap Kuasa Pentadbir Alam, iaitu Allah S.W.T.

(3) Menqiaskan sesuatu yang ghaib (tidak kelihatan) dengan sesuatu yang kelihatan;

“Apabila kita melihat kepada makhluk yang baharu dicipta, pasti ada satu kuasa yang mewujudkannya. Kita nampak penciptaan berlaku di hadapan mata kita, dan kita juga perlu menghukumkan bahawa pasti ada kuasa yang mengaturnya.”

Contohnya, kesan tapak kaki, menunjukkan ada orang lalu di tempat tersebut. Atau, kita tidak nampak graviti, tetapi kita merasai kesan kewujudannya. Maka, kita juga tidak melihat Allah S.W.T, sebaliknya jelas terbentang di hadapan mata kita bahawa ‘kesan’ kewujudan Allah S.W.T begitu ketara sekali.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 24/5/2020

- Advertisement -