Operasi hantar pulang pelajar UMK selesai

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 202 pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan swasta termasuk 144 pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pulang ke Sabah malam tadi.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, penghantaran balik pelajar UMK berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat berikutan beberapa kes positif Covid 19 melibatkan kluster IPT.

- Advertisement -

Katanya, sebanyak 11 bas disediakan UMK menghantar pelajar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

”Ops pelajar terbabit melibatkan kumpulan terakhir penuntut UMK dari Sabah yang pulang ke kampung halaman untuk sambutan Hari Raya dan Pesta Keamaatan.

“Sesi pemeriksaan kesihatan (swab test) diadakan 19 Mei lepas sebagai langkah-langkah persediaan sebelum proses penghantaran pulang baki pelajar yang menginap di kolej kediaman.

“Alhamdullilah, keputusan yang kita terima dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan 220 pelajar adalah negatif Covid 19 dan selamat untuk pulang,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika sesi taklimat menerusi panggilan video pada Ops Hantar Pelajar, di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa.

Menurut Dr. Zaliman, daripada jumlah 220 pelajar terbabit, 144 penuntut UMK. Selain itu 18 penuntut Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya (8), Universiti Teknologi MARA (4), Universiti Malaysia Pahang (1).

Manakala selebihnya pelajar IPTS iaitu Kolej Teknologi Darul Naim (4), Lincoln University College (4), Politeknik Kota Bharu (4), Politeknik Jeli (1) dan KUB (1).

“Pada misi Ops Hantar Pelajar kami memastikan tiada pelajar tercicir untuk pulang ke kampung.

“Saya berharap pelajar dapat mengikuti sesi pembelajaran melalui persidangan video bersama pensyarah dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa berada di kampung,” katanya.

“Pihak HEPA merakam ucapan terima kasih kepada semua agensi kerajaan seperti PDRM, Bomba dan Penyelamat serta agensi-agensi lain yang bersama-sama dalam menjayakan Ops Hantar Pulang Pelajar.

“Saya juga menzahirkan penghargaan di atas komitmen baik kepada jawatankuasa HEPA, Pusat Kesihatan Universiti dan Bahagian Keselamatan yang terlibat sebagai petugas barisan hadapan serta Majlis Perwakilan Pelajar UMK selaku sukarelawan program ini,” katanya.

UMK menguruskan tujuh misi penghantaran pulang pelajarnya yang berakhir 20 Mei lalu.- HARAKAHDAILY 22/5/2020

- Advertisement -