Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 26)

- Advertisement -

RENUNGAN ayat al-Quran melalui juzuk 26 hari ini meneliti mengenai kisah perjanjian Hudaibiyyah yang memaparkan asbab kemenangan besar umat Islam akibat kepatuhan yang telah ditonjolkan oleh para Sahabat Nabi. Namun, terdapat ramai juga golongan yang sengaja memberi alasan dan tidak mahu mematuhi seruan Rasulullah S.A.W.

Ketika itu, Rasulullah S.A.W ketika ingin melaksanakan umrah, Baginda mengarahkan penduduk sekeliling supaya keluar dengan jumlah yang ramai sebagai persediaan sekiranya pihak musuh menyerang umat Islam. Bahkan Nabi S.A.W meminta orang-orang Arab yang tinggal di pedalaman juga turut ikut serta, tetapi golongan tersebut enggan dengan mengemukakan alasan yang mereka ada-adakan. Sikap mereka ini dinyatakan oleh Allah melalui firman-Nya:

- Advertisement -

سَیَقُولُ لَكَ ٱلۡمُخَلَّفُونَ مِنَ ٱلۡأَعۡرَابِ شَغَلَتۡنَاۤ أَمۡوَ ٰ⁠لُنَا وَأَهۡلُونَا فَٱسۡتَغۡفِرۡ لَنَاۚ یَقُولُونَ بِأَلۡسِنَتِهِم مَّا لَیۡسَ فِی قُلُوبِهِمۡۚ قُلۡ فَمَن یَمۡلِكُ لَكُم مِّنَ ٱللَّهِ شَیۡـًٔا إِنۡ أَرَادَ بِكُمۡ ضَرًّا أَوۡ أَرَادَ بِكُمۡ نَفۡعَۢاۚ بَلۡ كَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِیرَۢا

“Orang-orang Arab Badwi yang ketinggalan (tidak turut bersama-sama denganmu ke Hudaibiyah), akan berkata kepadamu (wahai Muhammad): Kami telah dihalangi oleh urusan menjaga keselamatan harta benda dan anak isteri kami, oleh itu, pohonlah ampun kepada Allah untuk kami. Mereka berkata dengan lidahnya apa yang tidak ada dalam hatinya. Katakanlah (wahai Muhammad): maka adakah sesiapa yang berkuasa mempertahankan kamu daripada terkena atau menerima sesuatu ketetapan daripada Allah jika Dia tetapkan kamu ditimpa bahaya atau beroleh manfaat? bahkan Allah adalah Maha Mendalam pengetahuan-Nya mengenai sebab ketinggalan yang kamu lakukan itu.”

[Al-Fath: 11]

Di antara Arab dan Badwi yang tinggal sekeliling Madinah ialah Bani Ghifar, Juhainah, Muzainah, Asyja’, Aslam dan Al-Dil. Mereka tidak yakin dengan kuasa Allah serta menaruh sangkaan bahawa Nabi Muhammad S.A.W serta para Sahabat yang keluar tidak akan pulang lagi ke Madinah kerana mati dibunuh. Perbuatan mereka ini dirakamkan oleh Allah S.W.T sebagai munafik dan termasuk golongan celaka melainkan orang-orang yang bertaubat daripada kalangan mereka. Firman Allah S.W.T:

بَلۡ ظَنَنتُمۡ أَن لَّن یَنقَلِبَ ٱلرَّسُولُ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِلَىٰۤ أَهۡلِیهِمۡ أَبَدࣰا وَزُیِّنَ ذَ ٰ⁠لِكَ فِی قُلُوبِكُمۡ وَظَنَنتُمۡ ظَنَّ ٱلسَّوۡءِ وَكُنتُمۡ قَوۡمَۢا بُورࣰا

“Bahkan sebabnya kamu telah menyangka bahawa Rasulullah dan orang-orang yang beriman (yang pergi berperang akan binasa semuanya dan) tidak akan kembali lagi kepada isteri dan keluarga masing-masing selama-lamanya; dan sangkaan yang demikian itu diperelokkan (oleh Syaitan) di dalam hati kamu dan lagi kamu telah menyangka berbagai-bagai sangkaan yang buruk (terhadap agama Allah yang dibawa oleh Rasul-Nya), dengan itu menjadilah kamu kaum yang rosak binasa.”

[Al-Fath: 12]

Ketika meneruskan perjalanan, Nabi S.A.W dan kaum Muslimin tiba di Zulhulaifah, mereka terus solat dan berihram untuk melaksanakan umrah. Mereka membawa tujuh puluh ekor unta sebagai korban dan tidak sekali-kali datang untuk berperang. Para Sahabat majoritinya menyakini mereka akan dapat masuk ke Makkah untuk mengerjakan umrah sebagaimana diceritakan oleh Sheikh Muhammad al-Ghazali dalam Fiqh Sirahnya bahawa Sahabat Nabi optimis pada keesokannya akan dibuka pintu Makkah dan mereka boleh bertawaf serta melakukan sa’ie.

Namun, setelah terjadi beberapa peristiwa dan berlaku perundingan antara dua pihak, akhirnya Nabi S.A.W bersetuju untuk pulang pada tahun tersebut dan tidak memasuki Makkah. Sementara pada tahun hadapan, orang-orang Islam boleh masuk ke Makkah dan menetap di sana selama tiga hari. Mereka hanya boleh membawa senjata orang berperjalanan sahaja iaitu pedang yang disarungkan dan pihak Quraish tidak boleh menghalang mereka dengan apa jua cara sekalipun.

Perjanjian ini pada mulanya dilihat berat sebelah oleh para Sahabat namun mereka akur dan taat dengan kehendak Nabi S.A.W yang akhirnya menatijahkan suatu kemenangan yang besar dan pembukaan Kota Makkah pada tahun berikutnya. Inilah berkat kepatuhan dan taat sepenuhnya kepada arahan dan kehendak pimpinan, sudah tentu ada hikmahnya dan natijah yang lebih baik daripada perancangan manusia.

Begitulah juga, ketika kita berada dalam tempoh PKPB ini, diharapkan seluruh rakyat dapat mematuhi segala arahan dan ketetapan yang dikeluarkan khasnya menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. Kepatuhan akan menyelamatkan kita semua daripada penularan wabak COVID-19 yang sukar dikesan akan tetapi jika ramai yang ingkar, sangat dibimbangi musibah wabak ini akan bertambah atau penularan berlaku dalam kadar yang singkat. Semoga dengan berkat Ramadan, dan doa kita semua, Allah S.W.T mengangkat wabak ini secara keseluruhan dalam tempoh terdekat, insya-Allah.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
26 Ramadan 1441 / 19 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 19/5/2020

- Advertisement -