Membocorkan rahsia adalah pengkhianatan

- Advertisement -

PERNAH dengar kisah seorang Sahabat Nabi S.A.W yang membocorkan rahsia?

Kalau pernah dengar sosok tubuh bernama Hatib bin Abi Baltaah, beliau bukan calang-calang Sahabat Nabi S.A.W. Beliau juga merupakan Ahli Badar, sudah dijamin keampunan dosa oleh Allah.

Akan tetapi, pernah dikisahkan beliau tersilap dalam melakukan sesuatu perkara dan membuat sesuatu tindakan, iaitu menulis surat yang membocorkan strategi Rasulullah S.A.W kepada ahli keluarganya di Makkah melalui perantaraan seorang perempuan. Namun percubaan itu tidak berjaya dan penghantar maklumat tersebut sempat ditangkap di tangan Saidina Ali dan Al-Miqdad.

- Advertisement -

Saidina Umar mencadangkan untuk dipancung kepalanya kerana dosa membocorkan kerahsiaan, akan tetapi Rasulullah S.A.W menghalangnya kerana Ahli Badar dosanya telah diampunkan oleh Allah.

Walaupun tidak berjaya dibocorkan rahsia tersebut kerana dipelihara oleh Allah, kita dapat menuruti pengajaran yang cukup besar yang boleh diambil. Antaranya:

(1) Strategi atau mesyuarat atau perbincangan yang bersifat kerahsiaan perlu dijaga daripada bocor kerana ia bakal mengundang mudharat (keburukan) yang lebih besar.

(2) Orang yang membocorkan sesuatu rahsia dan maklumat sulit yang boleh mendatangkan bahaya kepada agama dan keselamatan negara sangat dikutuk dan akan mendapat azab Allah.

(3) Sudah pasti orang yang khianat kepada janji-janji yang dimeterai mendapat bala daripada Allah.

Boleh jadi, Allah memberikan balasan yang setimpal kerana perbuatan masa lalu yang pernah melakukan khianat.

Sekadar perkongsian.

USTAZ MOHD NOR RADZIE BOHARI
Ketua
Dewan Pemuda PAS Kawasan Sepang

Rujukan;
Kitab Feqh Al-Harakah, Tuan Guru Haji Abdul Hadi

25 Ramadan 1441H – HARAKAHDAILY 19/5/2020

- Advertisement -