Signifikan kajian, pemerhatian terhadap matahari

- Advertisement -

MATAHARI, salah satu makhluk yang disebut-sebut dalam al-Quran. Allah S.W.T tidak hanya bersumpah dengan kepentingan masa dan pena, malah turut menyebutkan kepentingan matahari.

- Advertisement -

Allah S.W.T berfirman;

وَالشَّمْسِ وَضُحَاهَا

“Demi matahari dan cahayanya di siang hari.”

(Asy-Syams: 1)

Pengaruh matahari ke atas bumi

Hasil pemerhatian para ilmuwan, dirumuskan beberapa pengaruh matahari ke atas bumi. Antara yang kerap disebut dalam al-Quran ialah peralihan waktu siang dan malam yang menjadi tanda kebesaran dan kekuasaan Allah S.W.T.

Allah S.W.T berfirman;

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَاخْتِلافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَالْفُلْكِ الَّتِي تَجْرِي فِي الْبَحْرِ بِمَا يَنْفَعُ النَّاسَ وَمَا أَنزلَ اللَّهُ مِنَ السَّمَاءِ مِنْ مَاءٍ فَأَحْيَا بِهِ الأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا وَبَثَّ فِيهَا مِنْ كُلِّ دَابَّةٍ وَتَصْرِيفِ الرِّيَاحِ وَالسَّحَابِ الْمُسَخَّرِ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering)nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan tiupan angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.”

(al-Baqarah: 164)

Terdapat beberapa ayat lagi yang menerangkan akan aturan waktu siang dan malam secara tertib. Adakala salah satunya panjang, ada musimnya pula berubah pendek.

Selain penentuan siang dan malam, terdapat sekurang-kurangnya lima lagi fenomena di bumi yang berlaku kesan dari pengaruh matahari.

(1) Aphelion dan Perihelion.

Bentuk orbit bumi yang berbentuk elips atau lonjong, menyebabkan ada ketika bumi akan berada pada kedudukan terhampir dengan matahari, ada ketika ia akan berada pada kedudukan terjauh.

Aphelion: terjauh.
Perihelion: terdekat.

Perihelion turut menyebabkan berlaku pasang surut air secara mendadak.

(2) Perbezaan waktu antara bahagian berbeza di muka bumi.

Setiap selisih 15 darjah pada bumi akan membawa perbezaan 1 jam.

(3) Kiraan kalendar Masihi.

Bumi mengambil tempoh 365.25 hari untuk melengkapkan pusingan mengelilingi matahari.

Maka setiap tahun dikira dengan 365 hari, setiap 4 tahun kalendar akan mencatatkan 366 hari.

(4) Perubahan tempoh siang dan malam hari.

Kutub yang lebih dekat dengan matahari akan mengalami siang yang lebih panjang. Begitu juga kutub yang lebih jauh akan mengalami perubahan malam yang lebih panjang.

(5) Perbezaan musim.

Perubahan kedudukan bumi dan matahari juga membuatkan wujud musim-musim berbeza. Sejuk, bunga, panas dan luruh.

Bahagian tengah bumi atau wilayah yang berada pada garisan khatulistiwa pula biasanya hanya memiliki dua musim; kemarau dan tengkujuh.

Sarjana Muslim ahli astronomi

Al-Battani merupakan tokoh ilmuwan Islam yang masyhur dalam bidang astronomi.

Beliau lahir dalam keluarga penyembah bintang, mendorong minat beliau yang tinggi dalam kajian astronomi. Berbeza dengan keluarga beliau, beliau merupakan seorang Muslim.

Beliau memperkenalkan teori Perihelion dan Aphelion yang dijelaskan saintis zaman kini. Melalui fenomena tersebut, beliau menerangkan logik di sebalik berlakunya gerhana Anulus atau cincin dan gerhana penuh.

Karya beliau yang terkenal ialah Kitab al-Zij, yang membincangkan lanjut perihal kajian astronomi sehingga 57 bab, bermula dengan penjelasan sfera dan buruj.

Hasil kerjanya sangat mempengaruhi ahli sains Barat seperti Tycho Brahe, Kepler, Galileo Galilei dan Copernicus. (1)

Kebangkitan ilmu sains di sebelah Barat pula kemudiannya menyebabkan pertembungan ilmuwan sana dan institusi gereja mereka. Kisah yang masyhur ialah bagaimana Galileo dan Copernicus dihukum bunuh pihak gereja dan buku catatan mereka dibakar. Kesan pergeseran panjang tersebut ditambah faktor-faktor lain akhirnya memunculkan Sekularisme di dunia Barat.

Matahari dan petanda kiamat

Selain penentuan waktu solat, bersahur dan berbuka puasa, pemerhatian terhadap matahari penting dilakukan memandangkan ia telah ditetapkan sebagai salah satu petanda besar sebelum berlakunya Hari Kiamat.

Nabi S.A.W bersabda;

إِنَّ أَوَّلَ الْآيَاتِ خُرُوجًا طُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا ، وَخُرُوجُ الدَّابَّةِ عَلَى النَّاسِ ضُحًى ، وَأَيُّهُمَا مَا كَانَتْ قَبْلَ صَاحِبَتِهَا ، فَالْأُخْرَى عَلَى إِثْرِهَا قَرِيبًا

“Sesungguhnya tanda-tanda Kiamat yang pertama kali keluar ialah terbitnya matahari dari Barat dan keluarnya binatang (Dabbah) kepada manusia pada waktu Dhuha.

“Antara keduanya tidak diketahui mana yang terkemudian keluarnya tetapi keluarnya secara berturutan. Yang satu mengikuti yang satu lagi dalam jangka waktu yang singkat.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Fenomena sunspot pula merupakan fenomena alam yang paling lama diikuti, diperhati dan direkodkan pemerhatiannya sepanjang sejarah. Kalau tidak silap, sejak abad ke-17.

Perkembangan terkini yang menjangkakan ketiadaan sunspot berpanjangan sudah pasti akan membawa kepada perubahan besar di muka bumi, memandangkan pengaruh matahari sangat signifikan dalam pelbagai aspek bumi.

Semoga tulisan akan datang dapat kita kongsikan mengenai kitaran solar, fenomena sunspot dan hikmah Allah merahsiakan Hari Kiamat.

Berhenti meneka-neka tarikh kiamat, teruskan mencari ilmu dan beramal soleh.

Rasulullah S.A.W bersabda;

بَادِرُوا بِالأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِى كَافِرًا أَوْ يُمْسِى مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنَ الدُّنْيَا

Bersegeralah melakukan amalan soleh sebelum datang fitnah (musibah) seperti potongan malam yang gelap.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Nota kaki:
(1) Sumbangan al-Battani dalam Bidang Astronomi, Muhammad Ridzuan Hashim.

SOFIA ALWANI ALI
18 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 18/5/2020

- Advertisement -